Tiada keperluan UMNO nyata pendirian tempoh Tun M pegang mandat PM

Anuar - Foto ihsan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Anuar - Foto ihsan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO belum membuat sebarang ketetapan mengenai pendirian rasmi parti itu berhubung tempoh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memegang mandat untuk menerajui negara.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Anuar Musa berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk parti itu menyatakan tempoh bagi Dr Mahathir memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, pandangan yang diberikan ahli parti yang menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir untuk memegang jawatan itu sehingga habis penggal adalah bersifat peribadi.

"Ada ahli BN (Barisan Nasional) yang memberi pendapat dan itu pendapat peribadi mereka. Tidak timbul soal betul atau salah kerana sehingga kini UMNO belum membuat ketetapan mengenainya malah buat masa ini tiada keperluan untuk UMNO menyatakan lama mana beliau (Dr Mahathir) harus pegang jawatan itu kerana situasi itu belum berbangkit.

"Bagaimanapun kita di peringkat majlis tertinggi UMNO akan berbincang sekiranya memerlukan UMNO menyatakan pendirian buat mengenai perkara ini," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) peringkat Terengganu di Stadium Negeri semalam.

Dalam pada itu, Anuar turut menyangkal bahawa wujudnya kempen dengan membawa idea kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Itu semua rumours (khabar angin). PH (Pakatan Harapan) ada 138 kerusi yang sepatutnya sudah cukup kuat kalau berlaku apa-apa masalah yang datang daripada PH, biar mereka sahaja ulas.

"Kita dalam pembangkang telah pun bersetuju untuk menumpukan Permuafakatan Nasional dan memberi fokus sebagai pembangkang serta membuat persiapan untuk menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Anuar berkata, PH perlu menutup mana-mana pintu daripada membenarkan mana-mana Ahli Parlimen menggunakan jalan belakang untuk menjadi ahli Kabinet.

"Kerajaan PH 'tutuplah' pintu belakang kalau buka ikut tingkap pun orang masuk. Ini masalah mereka, bukan masalah kita.

"Kalau sebelah 'sana' runtuh jangan salahkan pembangkang kerana agenda kita (Pas, UMNO) hanya mahu bersama membina penyatuan ummah, membina pasukan pembangkang yang kuat untuk mengambil alih kerajaan dalam PRU nanti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan 'pintu belakang': Buat apa tanya saya, tanyalah PM mereka

Kerajaan 'pintu belakang': Itu kenyataan kumpulan terdesak!