Mangsa asid, bakal model

Anmol sentiasa positif untuk teruskan hidupnya. - Mirror.UK
Anmol sentiasa positif untuk teruskan hidupnya. - Mirror.UK
A
A
A

MUMBAI - INDIA. Seorang bayi perempuan berusia dua bulan hampir mati setelah bapanya, Ashraff bertindak kejam mencurahkan asid ke mukanya.

Tindakan itu dilakukan kerana mahukan anak lelaki.

Ketika kejadian, Anmol Rodrigous sedang menyusu dan baring di pangkuan ibunya.

Akibatnya, Anmol mengalami cacat di muka dan mata kiri buta manakala ibu kesayangannya meninggal dunia.

Meskipun peristiwa itu berlaku 23 tahun lalu, Anmol kini berjaya mengatasi penderitaan emosi dan fizikal, malah menjadi inspirasi buat ramai wanita.

Walaupun meninggalkan parut serta kecacatan kekal di muka, tangan dan badannya, Anmol tidak berasa rendah diri sebaliknya popular di media sosial.

Digelar fashinista, juga penari salsa, Anmol sentiasa menyampaikan informasi positif buat pengikutnya.

Anmol juga adalah idola buat mangsa simbah asid dan menguruskan Yayasan Pejuang Asid Sahas.

Artikel Berkaitan:

Dia telah membantu 20 wanita untuk mendapatkan pekerjaan dan menganjurkan perkahwinan mewah untuk rakannya.

Katanya tidak pernah sekali merasakan dirinya berbeza dengan orang lain.

"Walau orang lihat saya dengan satu mata, muka berkedut, kulit terbakar, tetapi saya gembira menerima diri seadanya dan berkeyakinan untuk teruskan kehidupan," katanya.

Anmol mempunyai sikap positif yang menarik minat sesiapa sahaja ketika bertemu.

Beliau mempunyai hampir 25,000 pengikut di Instagram dengan memaparkan tarian-tarian terkini dan foto menarik.

Memiliki keyakinan diri, dua tahun lalu, Anmol berjaya menamatkan pengajian di kolej dan aktif dalam bidang kebajikan.

"Di kolej saya cemerlang dalam pelajaran tapi tidak mempunyai kawan. Saya sering sendiri. tetapi itu tidak mematahkan semangat untuk belajar.

"Memang rakan-rakan melabelkan saya pelik kerana suka berfesyen, bergaya... kerana mahu menjadi model.

"Dan kini, saya ditawarkan menjadi model oleh dua pereka fesyen bagi memperagakan pakaian di Instagram," katanya. - Mirror.UK