Menyelusuri sejarah Tanjung Piai, mukim Serkat

Mendapat jolokan Penghujung Benua Asia, pasti tarikan utama ke kawasan Taman Negara Tanjung Piai adalah taman rekreasi dan pelancongan.- Foto Bernama
Mendapat jolokan Penghujung Benua Asia, pasti tarikan utama ke kawasan Taman Negara Tanjung Piai adalah taman rekreasi dan pelancongan.- Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Tanjung Piai, kira-kira 30 kilometer dari bandar Pontian tidak asing dalam kalangan masyarakat tempatan mahupun negara luar kerana terletaknya kawasan pelancongan terkenal, Taman Negara Johor Tanjung Piai di tanah penghujung benua Asia itu.

Ketika ini nama Tanjung Piai semakin meniti di bibir orang ramai berikutan bakal berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini susulan kematian Ahli Parlimen kawasan itu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Di bawah Parlimen Tanjung Piai terdapat dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kukup dan Pekan Nanas.

Tanjung Piai yang terletak dalam Mukim Serkat dikatakan mendapat namanya daripada Paku Piai yang banyak tumbuh di kawasan berkenaan.

Aktivis sejarah yang juga penduduk Kampung Serkat Laut, Jamal Ahmad berkata, diceritakan secara lisan, Tanjung Piai dahulunya adalah sebuah kawasan berpasir sangat tebal dan tidak berlumpur seperti ketika ini.

Peniaga ikan mengangkat ikan untuk dipotong ketika tinjauan di Pasar Awam Pontian. Terdapat sekitar 40 peniaga menjual hasil tangkapan laut seperti ikan, sotong, ketam dan udang yang diperoleh dari nelayan tempatan di Pasar Awam Pontian yang berusia lebih 35 tahun. - Foto Bernama
Peniaga ikan mengangkat ikan untuk dipotong ketika tinjauan di Pasar Awam Pontian. Terdapat sekitar 40 peniaga menjual hasil tangkapan laut seperti ikan, sotong, ketam dan udang yang diperoleh dari nelayan tempatan di Pasar Awam Pontian yang berusia lebih 35 tahun. - Foto Bernama

Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Serkat yang mesra dipanggil Cikgu Jamal itu berkata, pihak British difahamkan pernah mengunjungi Tanjung Piai pada satu masa dahulu dan berpendapat ia sesuai dijadikan kawasan pelabuhan, sebelum mereka memilih Singapura.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin tidak sesuai, British tidak jadi membuka pelabuhan di situ (Tanjung Piai) dan kemudian dikatakan pihak British turut mengarahkan kawasan itu ditanam pokok bakau.

“Tanjung Piai ini juga dikatakan sudah wujud sekitar tahun 1800, namun, ia kemudian semakin dikenali ramai sebagai kawasan pelancongan, selepas diisytihar sebagai kawasan ramsar kerana hutan bakau dan faunanya itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Tidak boleh dipisahkan dengan Serkat

Apabila menyebut tentang Tanjung Piai, Jamal berkata, ia tidak boleh dipisahkan dengan Serkat kerana Tanjung Piai itu terletak di dalam Mukim Serkat, iaitu salah satu mukim di dalam daerah Pontian.

Beliau berkata, diceritakan secara lisan oleh moyangnya, Serkat yang terbahagi kepada Serkat Laut, Serkat Timur, Serkat dan Serkat Barat, dibuka oleh Datuk Nakhoda Mintol, berasal dari Batu Bara, Sumatera, yang diangkat sebagai ‘Datuak’ iaitu ketua masyarakat atau ketua agama.

Serkat juga, katanya, mendapat nama daripada ‘sekatan’ beting lumpur di perairan Serkat yang menghalang laluan kapal-kapal dagang sehingga ‘tersekat’ lalu akhirnya menyebabkan kapal-kapal itu dirompak lanun.

“Dikatakan asal pembukaan penempatan di Serkat ini adalah di Serkat Timur di mana Datuk Nakhoda Mintol meletakkan batu asas kecil sebagai tanda.

"Dikatakan, di situ juga (Serkat Timur) terdapat banyak haiwan liar termasuk gajah putih, cuma kita tiada bukti sahih kewujudan mamalia itu.

“Saya diceritakan, pada 1885, ketika Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar menerima hadiah pedang daripada pihak British kerana berjaya menghapuskan lanun di Selat Melaka, pada waktu itu, Serkat sudah wujud,” katanya dengan menambah pernah melihat batu asas terbabit sewaktu kecil, namun batu tersebut kini sudah dibuang dari kawasan itu bagi mengelakkan khurafat.

Jamal yang aktif mengumpul barangan antik berkata, selepas kematian Datuk Nakhoda Mintol di Bengkalis, Sumatera, Serkat kemudiannya semakin berkembang di bawah pentadbiran Long Rashid, iaitu menantu Datuk Nakhoda Mintol sehingga wujudnya beberapa kampung seperti Kampung Serkat, Kampung Perpat Timbul, Kampung Chokoh, Kampung Sungai Durian, Kampung Sungai Kuali dan Kampung Sungai Boh.

Majoriti penduduk adalah nelayan, pekebun

Jamal yang juga bapa saudara kepada Allahyarham Dr Md Farid berkata, ketika ini majoriti penduduk Serkat adalah nelayan dan pekebun, selain sebilangan kecilnya adalah peniaga, dengan rata-rata penduduknya berumur lingkungan 50-an, 40-an dan generasi muda.

“Orang tua ramai yang ‘sudah tiada’ di Serkat ini. Kebanyakan pekebun di sini mengusahakan tanaman kelapa sawit. Dahulu ada yang menanam kelapa, koko dan pisang, namun, terpaksa berhenti menanam koko dan pisang selepas tanaman itu diserang penyakit,” katanya.

Peniaga Ah Guan, 47, bersama ikan siakap seberat lapan kilogram ketika tinjauan di Pasar Awam Nelayan.- Foto Bernama
Peniaga Ah Guan, 47, bersama ikan siakap seberat lapan kilogram ketika tinjauan di Pasar Awam Nelayan.- Foto Bernama

Menurut Jamal, selain SK Serkat, terdapat sebuah lagi sekolah rendah di Serkat iaitu SK Andek Mori yang banyak berjasa dalam memberikan pendidikan awal kepada ramai anak tempatan, termasuk dirinya dan Allahyarham Dr Md Farid.

“Allahyarham Andek Mori adalah datuk saudara Allahyarham Dr Md Farid, di mana beliau mewakafkan tanah untuk pembinaan sekolah itu yang dahulunya merupakan sekolah aliran Inggeris, ‘Serkat Primary School’.

"Selain Md Farid, antara pemimpin yang pernah bersekolah di situ adalah Adun Kukup ketika ini, Datuk Md Othman Yusof,” katanya yang pernah berkhidmat di SK Andek Mori selama 18 tahun, sebelum bertukar ke SK Serkat.

Kembali menetap di Serkat selepas menamatkan pengajian dalam bidang perguruan di Terengganu kira-kira 30 tahun lepas, Jamal berkata, beliau berharap sesiapa pun calon yang memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai kelak, dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat kawasan itu.

“Bagi saya, sesiapa pun yang menang nanti, tugasnya amat berat. Pandangan saya, masyarakat di sini risau dengan keperluan semasa, kos sara hidup dan harga kejatuhan komoditi. Kita memang dengar desas-desus beberapa nama yang ‘naik’ sebagai calon, tetapi bagi saya biarlah calon itu orang yang boleh buat kerja,” katanya. - Bernama

Jeti nelayan Mukim Serkat tersebut merupakan salah satu dari tiga projek penambahbaikan yang dilaksanakan di kawasan Tanjung Piai. - Foto Bernama
Jeti nelayan Mukim Serkat tersebut merupakan salah satu dari tiga projek penambahbaikan yang dilaksanakan di kawasan Tanjung Piai. - Foto Bernama