Apa muslihat di sebalik komik BRI?

A
A
A

KERAJAAN telah mengharamkan komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) yang sebelum ini sempat diedarkan di beberapa sekolah di Pulau Pinang.

Kementerian Dalam Negeri berkata, pengharaman komik dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina itu tidak ada kai-tan politik, sebaliknya mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Menurut KDN, komik itu mempromosi ideologi komunisme, sosialisme, menyebarkan fakta salah, mengelirukan dan juga mempertikaikan perjuangan tokoh terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Semua bersetuju dan menyokong tindakan tegas kerajaan mengharamkan komik tersebut.

*WALAUPUN telah diharamkan, kisah BRI tidak tamat begitu sahaja. Banyak persoalan masih memerlukan penjelasan mengenai komik tersebut.

Bagaimana komik berharga RM25, mungkin komik termahal setakat ini boleh dijual di sekolah? Dan bagaimana pihak sekolah tanpa sebarang syak boleh menerima komik berkenaan?

Komik tersebut dihasilkan oleh bekas anggota DAP, Hew Kuan Yau. Apakah tujuan beliau menerbitkan komik seperti itu? Adakah untuk tujuan perniagaan? Atau untuk apa?

Maka mengharamkan sahaja komik itu rasanya belum mencukupi. Pihak berkuasa patut siasat sesiapa sahaja terlibat dengan penerbitan dan pengedaran BRI.

Artikel Berkaitan:

*GARA-GARA komik BRI yang telah diharamkan itu, ramai bersetuju bahawa komik tersebut telah menjejaskan tanggapan umum terhadap DAP.

Walaupun penulisnya menegaskan komik itu diusahakan atas inisiatif sendiri, ia tidak dapat mengelakkan tanggapan serong terhadap parti yang pernah dianggotainya. Tambahan pula, komik itu diedarkan di Pulau Pinang, negeri yang selalu dianggap sebagai kubu DAP.

Maka tidak keterlaluan jika Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan agar kerajaan mengharamkan DAP. Penerbitan komik tersebut adalah salah satu bukti bahawa tindakan parti berkenaan bercanggah dengan pembentukan asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, sebelum ini beberapa kenyataan pemimpin DAP jelas bercanggah dengan usaha memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat negara ini.

Pas atau mana-mana musuh DAP boleh sahaja mencadangkan parti itu diharamkan tetapi perlu diingat, tidak mudah mengharamkan parti politik yang telah lama menjadi sebahagian daripada Malaysia dan kini menjadi komponen parti pemerintah.

*PROF Emeritus Datuk Dr Zainal Kling begitu bersemangat ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, 6 Oktober lalu.

Semalam, beliau yang juga penganjur bersama kongres tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau diminta memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat mengenai ucapan beliau yang menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan raja-raja dan juga kedudukan istimewa orang Melayu.

Prof Zainal bercakap mengenai orang Melayu, tidak menyentuh kaum-kaum lain. Sebagai orang Melayu, saya menyokong penuh apa yang disuarakan oleh Prof Zainal. Malah, rasanya Tun M yang hadir pada kongres tersebut pun bersetuju.

Tetapi biasalah apa yang kita cakapkan boleh sahaja disalah tafsir dan disalah anggap oleh pihak lain. Moral cerita, apa sahaja isunya kita kena berhati-hati dalam apa sahaja yang kita hendak luahkan. Bak kata pepatah ‘cakap siang pandang-pandang...’

*SEMENJAK dua menjak ini orang sibuk bercakap mengenai apa yang dipanggil sebagai ‘kerajaan pintu belakang.’

Konon ada sesetengah pihak dalam UMNO yang sedang berkira-kira mewujudkan kerajaan pintu belakang. Maka, ramai yang membuat pelbagai ramalan tentang siapa yang ada dalam kerajaan pintu belakang. Malah dalam kalangan pemimpin PH pun semakin bertelagah pendapat mengenai isu itu. Ada yang kata ia sengaja untuk panaskan suasana.

Janganlah berkelahi sesama sendiri mengenai kerajaan pintu belakang. Perbetul dan perkukuhkan kerajaan yang sah sekarang. Jangan main belakang-belakang!

*AKHIR kalam, PRK Tanjung Piai semakin hampir dan setakat semalam, masing-masing pihak masih merahsiakan siapa calon yang akan mereka letakkan.

Apa pun pengundi Tanjung Piai telah dijanjikan peruntukan RM juta-juta untuk pelbagai projek termasuk memperbaiki jeti nelayan. Tidak kira siapa yang bertanding PRK, di mana-mana pun selalu membawa rezeki kepada rakyat. Selamat berkempen secara bersih!

- TOK PERAK