Membentuk politik matang

A
A

ANTARA tonggak utama dalam amalan demokrasi adalah meraikan perbezaan. Malah, berbeza pendapat dianggap sebagai hak yang harus sentiasa diraikan. Sebab itu, ia antara komponen yang penting dalam perjalanan demokrasi sesebuah negara, selain pilihan raya.

Mengapa ia penting? Kerana dengan meraikan perbezaan, politik dan pentadbiran sesebuah negara itu akan sentiasa berfungsi dan bekerja dengan baik atas kesejahteraan rakyat. Pada masa sama, ia dapat memastikan kerajaan bebas daripada sebarang kepentingan, sama ada individu tertentu mahupun mana-mana kelompok.

Perkara itu juga sering membawa kepada pembudayaan politik matang dan budiman (gentleman). Sebab itu, politik sepatutnya membawa kepada kematangan dan kesejahteraan, bukan sebaliknya. Apabila itu berlaku, barulah politik negara dapat berfungsi dengan erti kata yang sebenar.

Apakah keberhasilannya? Kalau melihat politik Barat, perbezaan pendapat menjadikan politik mereka benar-benar matang dan budiman. Politiknya hanya sekadar perbezaan pendapat dan pandangan, tidak lebih daripada itu. Malah, pertarungan politik hanya berlaku ketika pilihan raya sahaja. Seusai pilihan raya, yang kalah akan mengutuskan tahniah dan ucapan selamat maju jaya kepada yang menang. Selepas itu, kedua-dua pihak bekerjasama memainkan peranan bagi memastikan pentadbiran negara berfungsi dengan baik dan lancar.

Tetapi lain pula dengan politik di Malaysia. Bila pilihan raya tamat, jarang berlaku si kalah mengucapkan tahniah dan maju jaya kepada yang menang. Pertarungan politik juga tidak berhenti selepas pilihan raya. Malah, aktiviti berpolitik lebih rancak selepas pilihan raya. Baik yang menang mahupun kalah, akan sentiasa berbalah dan mencari kesalahan masing-masing sehingga terlupa peranan dan tanggungjawab mereka sebagai ‘wakil rakyat’.

Barangkali kita harus mencontohi Indonesia. Satu ketika dahulu kita jauh meninggalkan mereka dari segenap sudut. Namun, Indonesia semakin dekat mengejar kita. Lihatlah bagaimana laporan Bank Dunia 2019 terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berkembang sekitar 5.1 peratus berbanding Malaysia (4.6 peratus), walaupun ranking Indeks Daya Saing Global (GCI) World Economic Forum (WEF) 2019 meletakkan Malaysia di tangga ke-27 berbanding Indonesia (50).

Apakah semua itu berlaku dengan secara tiba-tiba? Jawapannya sudah tentu tidak. Hal itu terjadi disebabkan adanya kematangan politik dan perasaan mendahulukan negara dalam setiap perkara. Indonesia pasca Orde Baharu telah menukar cara berpolitik negara itu kepada yang lebih matang dan terbuka.

Perubahan drastik sistem pemerintahan dan pendekatan baharu menggantikan cara lama mengubah hala tuju politik negara itu yang sinonim dengan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) kepada ketelusan dan keberhasilan.

Itu semua berlaku kerana amalan politik yang matang dan budiman. Politik Indonesia selepas era reformasi berjaya membentuk nuansa baharu yang melihat politik sebagai medan membaiki negara. Disebabkan itulah, maka kita dapat menyaksikan peningkatan ketara dalam politik Indonesia hasil daripada perubahan itu.

Hebatnya politik tetangga kita ini sampaikan Presiden Joko Widodo (Jokowi) mahu melantik seteru politiknya, Prabowo Subianto menjadi sebahagian anggota Kabinet pentadbirannya. Prabowo yang juga pencabar Jokowi ketika Pilihan Raya Presiden April lalu dilantik sebagai Menteri Pertahanan atas pengalamannya sebagai bekas Leftenan Jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI). Walaupun bermusuhan, mereka sanggup mengetepikan persengketaan dan bekerjasama dalam satu pasukan demi kepentingan negara.

Itulah yang sedang berlaku dengan tetangga kita. Bagaimana pula dengan kita?

Bilakah agaknya amalan menjadikan jawatan Kabinet sebagai ‘habuan politik’ akan berakhir.

Adakah kita mampu. Kalaupun tidak berupaya untuk berjiwa besar seperti Presiden Jokowi, sekurang-kurangnya meraikan perbezaan pendapat dan melakukan anjakan paradigma dalam berpolitik dalam konteks matang dan budiman. Hanya masa yang akan menentukan.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)