Kampung Baru: Tawaran RM1,000 kaki persegi masih rendah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Tawaran kerajaan sebanyak RM1,000 setiap kaki persegi untuk pembangunan semula Kampung Baru Kuala Lumpur disifatkan sebagai terlalu rendah.

Pengerusi Koperasi Pentadbiran Mas Kampung Baru Kuala Lumpur Berhad (Maskop), AR Mohtar Rahmad berkata, tawaran berkenaan dilihat tidak sepadan dengan lokasi kawasan berkenaan yang berhampiran dengan pelbagai kemudahan infrastruktur di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur seperti KLCC, Transit Aliran Ringan (LRT), transit Aliran Massa (MRT) dan sebagainya.

Menurutnya pada 2 Mac 2018, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mahathir pernah berkata kepada semua pemilik tanah bahawa tanah di situ harganya RM2,000.

“Bagi kita tawaran itu terlalu rendah, sepatutnya bernilai RM3,000. Jangan ambil Kampung Baru ini sebagai tanah rizab Melayu kerana ia ada keistimewaan kerana walaupun geran putih, ia freehold (pegangan bebas) dan bukannya lease hold (pegangan pajakan).

“Lagipun, cuma 15 peratus saja yang nak jual. 85 peratus lagi tak nak jual sebab itu adalah tanah warisan dan amanah daripada tok, nenek, moyang supaya anak cucu ada tempat berteduh.

"Kalau tok, nenek, mak, ayah kita dapat bertahan selama 119 tahun tetapi kini senang-senang pula nak jual, maknanya kita tak amanah," katanya.

Mohtar berkata demikian bagi mengulas tawaran kerajaan kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah bagi tujuan pembangunan semula di kawasan berkenaan pada harga RM1,000 bagi satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Mohtar turut mencadangkan agar kerajaan mengemukakan tawaran lain dan bukannya membeli tanah Kampung Baru, dalam masa sama berharap kerajaan bersama-sama penduduk dan pemilik tanah membangunkan lokasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita buat pajakan 25 tahun, sampai bila pun tanah tu hak milik orang Melayu. Itu yang kita nak dan mesti ada dana pusingan sebagaimana yang pernah dibuat oleh Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada tahun 60-an yang memberikan pinjaman kepada penduduk untuk bina rumah baharu.

"Bila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan, pinjaman sama juga dibuat melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Jadi sekarang ni, kerajaan patut buat dana pusingan supaya kita dapat naikkan bangunan 45 tingkat, 60 tingkat, 50 tingkat hasil dana pusingan itu," katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan juga perlu membantu dengan membawa masuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membuka pejabat di situ dalam pajakan 25 tahun.

"Secara tak langsung, semua bangunan itu akan diduduki oleh penyewa utama dan selepas 25 tahun, mereka akan dapat semula bangunan untuk tinggal di situ," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Tanah Kampung Baru: Kerajaan tawar RM1,000 sekaki persegi