Kembalikan semangat muhibah, identiti rakyat Malaysia

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia mesti mengembalikan dan mempromosikan semangat “muhibah” yang menjadi identiti rakyat Malaysia sebelum dan selepas merdeka.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak harus menekankan garis perkauman, tidak melihat setiap isu dari sudut perkauman dan mengapi-apikan sentimen perkauman kerana semua ini akan menimbulkan keresahan, ketegangan dan akhirnya akan menjejaskan perpaduan negara.

Menurutnya, dengan mengamalkan pendekatan perkauman terhadap semua yang mereka lakukan, ia mengundang padah yang tidak harus dibenarkan untuk berlaku di negara tercinta dan menghentikan semua pendekatan perkauman dan tidak menjadi wira etnik tetapi menjadi penghubung etnik untuk membina persefahaman antara kaum dan keharmonian.

"Ramai di antara kita mungkin memandang ringan kepada keharmonian kaum kerana percaya tidak banyak yang perlu dilakukan untuk memeliharanya kerana ia adalah sesuatu yang telah diamalkan dalam masyarakat kita.

"Malangnya, selepas 62 tahun merdeka, kita masih fokus mengenai bangsa dan agama dan baru-baru ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan raja-raja mengingatkan kita tentang bahaya yang ditimbulkan oleh isu-isu ini.

"Semangat muhibah hanya akan berkembang apabila rakyat daripada pelbagai etnik dan agama menghormati antara satu sama lain dan sentiasa peka dan menjaga sensitiviti agama dan budaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye mengulas pelbagai isu dan isu perkauman yang timbul sejak akhir-akhir ini yang boleh mengancam hubungan harmoni antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Sementara itu, Lam Thye berkata, di Malaysia, perpaduan dalam komuniti berbilang kaum adalah sebahagian daripada sejarah dan warisannya dan ia merupakan sumber integrasi perkauman yang penting selama bertahun-tahun dan pastinya memainkan peranan utama dalam menjadikan Malaysia tempat yang harmoni untuk hidup, belajar, kerja dan bermain. - Bernama

Artikel Berkaitan: