Budak bawah umur antara dicekup dalam parti persendirian

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 14 remaja termasuk tujuh daripadanya di bawah umur diberkas ketika menyertai parti persendirian di sebuah kondominium mewah di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, penahanan dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu melibatkan remaja berumur 14 hingga 22 tahun termasuk empat remaja perempuan.

Menurutnya, dalam serbuan pada jam 2.40 pagi itu, pihaknya turut merampas lima biji pil ekstasi.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kesemua individu itu mendapati sembilan orang termasuk dua wanita positif dadah,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, kesemua individu ditahan turut direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam masa sama, pihaknya turut menyeru kepada ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap setiap pergaulan dan aktiviti anak masing-masing bagi mengelak mereka terjerumus dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

Sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dang Wangi di talian 03-26002303.

Artikel Berkaitan: