Manfaat teknologi baharu dalam sektor pertanian

Salahuddin (dua, kanan) bersalaman dengan Adly ketika pertemuan itu di Seri Negeri, Ayer Keroh, tadi.
Salahuddin (dua, kanan) bersalaman dengan Adly ketika pertemuan itu di Seri Negeri, Ayer Keroh, tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pemain industri pertanian disarankan memanfaatkan dan mengaplikasikan elemen teknologi baharu dalam mempertingkatkan hasil pertanian mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, teknologi seperti 'artificial intelligence' dan peranti berkonsepkan internet saling berhubung atau Internet of Things (IoT) perlu dioptimumkan penggunaannya untuk membantu menjana pendapatan lumayan dalam pelbagai sektor pertanian.

Menurutnya, walaupun Melaka negeri yang kecil dan terhad keluasan tanah pertanian, namun semua itu bukan penghalang untuk menjadikan ia berpotensi cemerlang dalam bidang pertanian seperti hub pengeluaran telur ayam dan industri rumina, seperti penternakan kambing boer dan 'agriculture.'

"Teknologi telah membuktikan, saiz kecil bukan masalah, negara Holland dan Taiwan kecil tapi boleh sampai ke tahap eksport bahan-bahan pertanian mereka.

"Semua pihak mesti mengambil kesempatan daripada teknologi yang ada pada hari ini, 'artificial intelligence' dan IoT ini semua telah kita bangunkan, kebanyakan dalam bidang fetigasi yang mana ramai anak muda menggunakan IoT ini," katanya.

Salahuddin berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan bersama Ketua Menteri, Adly Zahari di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, tadi.

Hadir sama, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan dan Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Roslan Ibrahim.

Jelasnya, dalam masa yang sama kementerian memerlukan maklumat menyeluruh dari semua jabatan dan agensi berkaitan supaya teknologi 'IoT' akan menjadi suatu elemen baharu yang berperanan mempertingkatkan hasil pertanian sekali gus memberikan pulangan besar di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, menerusi Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) juga kementerian akan memperkasakan keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan sektor pertanian termasuk variasi tanaman pertanian, teknologi baharu dan pendekatan baharu bagi semua sektor dalam bidang pertanian.

"Saya yakin kementerian akan sentiasa mengemukakan pendekatan baharu, teknologi baharu khususnya dalam artificial intelligence' untuk diaplikasikan oleh semua pemain kita dalam sektor pertanian," katanya.