Tuntut keadilan tragedi berdarah Tak Bai

Kebanyakan lelaki Islam yang ditahan semasa peristiwa Tak Bai meninggal dunia akibat sesak nafas semasa dibawa ke pangkalan tentera di Pattani.
Kebanyakan lelaki Islam yang ditahan semasa peristiwa Tak Bai meninggal dunia akibat sesak nafas semasa dibawa ke pangkalan tentera di Pattani.
A
A
A

NARATHIWAT - Kumpulan hak asasi manusia Thailand, Yayasan Rentas Budaya (CRCF) berkata, pihak bertanggungjawab atas kematian umat Islam di Tak Bai pada 2004 mesti dibawa ke muka pengadilan dan dihukum.

Pengarahnya, Pornpen Khongkachonkiet berkata, kegagalan Kerajaan Thailand mendakwa anggota keselamatan yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu membayangkan ketidakadilan.

“Kegagalan pihak berkuasa melaksanakan keadilan kepada penduduk Muslim di selatan Thailand mencetuskan pemberontakan di wilayah itu,” katanya.

Pornpen berkata, apa yang berlaku di Tak Bai 15 tahun lalu mesti terus dikenang.

Katanya, melaksanakan keadilan kepada semua mangsa kekejaman itu adalah langkah penting menamatkan kekacauan dan menghormati hak komuniti Muslim setempat.

Dalam pada itu, umat Islam di Tak Bai memperingati peristiwa berdarah tersebut di masjid-masjid ketika solat Jumaat.

Peristiwa berdarah itu tercetus selepas lebih 1,000 penduduk mengadakan demonstrasi di luar Balai Polis Tak Bai bagi membantah penahanan enam lelaki Muslim yang dituduh membekalkan senjata kepada pihak pemberontak.

Tragedi Tak Bai berlaku pada bulan Ramadan dan mengorbankan nyawa 85 penduduk Islam.

Artikel Berkaitan:

Ia tercetus pada 24 Oktober 2004 dan protes bertukar ganas selepas tentera melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

Imej penduduk yang disusun bertindih antara satu sama lain dalam trak tentera dengan tangan diikat di belakang mencetuskan kemarahan global dan kumpulan hak asasi manusia. - AFP