4 ahli geng ragut diberkas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah ragut diberkas sepasukan anggota polis daripada Pasukan Op Rentap Khas di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Kajang, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, bertindak atas maklumat pada jam 3.45 petang pasukannya mengekori sebuah motosikal jenis Kawasaki RR150 kuning yang ditunggang suspek bersama pembonceng di Jalan Ampang di sini.

“Kita cuba menahan motosikal tersebut di hadapan Stesen Monorail Bukit Nenas, Jalan Ampang, tetapi suspek cuba melarikan diri namun kita berjaya menahan mereka,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, susulan penahanan itu, polis berjaya menahan dua orang lagi rakan mereka di Kajang dan Cheras.

“Hasil daripada serbuan itu, kita merampas beberapa unit telefon bimbit dan wang tunai mata wang asing yang dipercayai hasil daripada jenayah ragut.

"Polis turut merampas tiga motosikal yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah. Nilai rampasan dianggarkan RM20,000,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 21 hingga 25 tahun serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua individu itu turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun dan dadah serta dua daripadanya masih dikehendaki,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seorang jurujual menjadi mangsa ragut kumpulan penjenayah itu pada 11 Oktober lalu di hadapan sebuah restoran di Jalan Ampang.

"Mangsa didatangi oleh suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan motosikal jenis Kawasaki RR150 warna kuning lalu meragut telefon bimbit jenis Samsung Note 8 milik mangsa.

“Suspek kemudian terus melarikan diri dan anggaran kerugian lebih RM1,200,” katanya.

Menurutnya, modus operandi kumpulan penjenayah itu ialah melakukan jenayah berdua dengan menunggang motosikal dan ditemani lebih daripada sebuah motosikal.

“Salah seorang suspek akan melakukan ragut manakala rakan mereka akan bertindak sebagai pembantu jika kepada rakan sejenayah mereka. Kumpulan ini aktif melakukan jenayah ragut sejak Ogos lalu.

“Kumpulan ini dipercayai meraih keuntungan sehingga RM5,000 setiap kali melakukan jenayah ragut. Mereka turut mensasarkan pelancong dan pejalan kaki sebagai mangsa,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, selepas tangkapan berkenaan polis berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes ragut di sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Kajang.

“Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.