Teks doa solat hajat diedar

Ahmad (kiri) menyampaikan teks tersebut kepada penerima yang hadir.
Ahmad (kiri) menyampaikan teks tersebut kepada penerima yang hadir.
A
A
A

KOTA BHARU - Satu teks doa solat hajat amal makruf nahi mungkar memohon ALLAH SWT menjauhkan umat Islam khususnya rakyat Kelantan daripada ancaman masalah sosial diedarkan kepada seluruh ketua jajahan hari ini.

Teks doa tersebut akan diserahkan kepada imam masjid mukim dan dibaca selama 40 kali Jumaat bermula 3 Oktober lalu.

Ia diserahkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob disaksikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan kepimpinan tertinggi kerajaan ketika sambutan Hari Hududullah, di Medan Ilmu di sini.

Ahmad dalam ucapannya memberitahu, cabaran umat Islam hari ini sangat getir daripada pelbagai aspek.

"Dari aspek keselamatan, kita diuji dengan keangkuhan musuh Islam yang menindas serta melemahkan kekuatan yang ada pada umat Islam di serata dunia.

"Dari aspek ekonomi, kita jauh ketinggalan ke belakang berbanding bangsa lain walaupun kita kaya dengan sumber hasil bumi yang dianugerahkan oleh ALLAH S.W.T.

"Dari aspek sosial pula, kita diancam dengan hakisan nilai-nilai murni dalam masyarakat serta generasi baru umat Islam. Pelbagai budaya liar yang dipengaruhi kesesatan telah merasuk generasi muda kita.

"Walau pelbagai kajian, pandangan serta luahan yang diberikan, secara realitinya ia berpunca daripada kelemahan kita sendiri yang semakin lalai atau culas untuk menghayati amal makruf dan nahi mungkar apatah lagi masyarakat kita yang semakin terdedah kepada ancaman pemikiran dan budaya negatif yang dicedok dari luar negara," katanya.

Artikel Berkaitan: