Enggan bersurai, tiga peserta himpunan ditahan polis

Muhammad Ikhwan mengetuai Himpunan Menyokong Naib Canselor UM di luar pekarangan pintu utama UM sebelum ditahan.
Muhammad Ikhwan mengetuai Himpunan Menyokong Naib Canselor UM di luar pekarangan pintu utama UM sebelum ditahan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga peserta Himpunan Menyokong Naib Canselor Universiti Malaya (UM) di luar pekarangan pintu utama UM kerana enggan terhadap arahan pihak berkuasa untuk bersurai petang tadi.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin bersama dua lagi rakannya yang mengetuai himpunan berkenaan ditahan polis kira-kira jam 3 petang.

Sebelum itu, Muhammad Ikhwan ditemui pemberita kesal apabila peserta himpunan tidak dibenarkan memasuki kawasan universiti selepas berhimpun di luar pekarangan pintu utama UM dan pihaknya diminta polis beredar dari pintu utama universiti selepas permohonan berhimpun secara aman tidak dibenarkan.

“Kami tidak melakukan apa-apa keganasan tapi datang secara aman. Disebabkan itu, kami ambil tindakan untuk bersurai supaya keselamatan semua ahli kami terjaga,” katanya.

Muhammad Ikhwan berkata, pihaknya turut menghantar surat kepada pihak pengurusan UM sebelum ini untuk menganjurkan perhimpunan aman di hadapan bangunan Canseleri UM, namun dimaklumkan pada saat akhir permohonan itu tidak diluluskan UM sehingga memaksa polis bantuan menutup pagar pintu utama universiti berkenaan.

“Kita pada peringkat awal sudah menghantar surat kepada UM untuk membuat perhimpunan di hadapan Canseleri di dalam universiti tapi disebabkan tiada respon dan akhirnya kita dimaklumkan sebelum Jumaat tadi bahawa pagar ini ditutup, jadi kita teruskan demo di hadapan (pintu utama UM) sahaja,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian dimaklumkan ketiga-tiga peserta terbabit yang dibawa ke Balai Polis Pantai untuk diambil keterangan masih berada di balai polis berkenaan sehingga jam 6 petang.

Artikel Berkaitan: