Duta Korea Utara ke Itali hilang?

Song-gil
Song-gil
A
A
A

SEOUL - KOREA SELATAN. [DIKEMASKINI] Agensi risikan Korea Selatan, hari ini mendakwa Duta Korea Utara ke Itali telah hilang.

Pengumuman itu dibuat berdasarkan laporan tidak disahkan yang mendakwa diplomat kanan Pyongyang itu telah memohon perlindungan dari negara Barat tidak dikenali.

Jo Song-gil, pemangku Duta Besar Korea Utara ke Rom dipercayai anak lelaki atau menantu kepada pegawai tertinggi di Korea Utara.

Tindakannya itu didakwa memberi tamparan hebat kepada rejim Kim Jong-un.

Difahamkan, diplomat kanan terakhir yang membelot adalah Timbalan Duta ke London, Thae Yong-ho yang melepaskan jawatannya pada 2016 selepas berpaling tadah ke Korea Selatan bersama isteri dan anaknya.

Ahli parlimen, Kim Min-ki memberitahu, Song-gil meninggalkan Kedutaan Itali itu sejak lebih sebulan lalu.

"Penggal perkhidmatan beliau tamat pada akhir November dan beliau keluar dari kediaman diplomatik itu pada awal November," ujarnya.

Perkhidmatan Risikan Kebangsaan Korea Selatan memaklumkan mereka tidak dapat menghubunginya sejak dua bulan lalu dan tidak dapat mengesahkan sama ada Song-gil cuba untuk berpaling tadah ke negara lain.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, isterinya juga dipercayai bersamanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Itali mengesahkan tiada rekod permohonan perlindungan dibuat Song-gil.

Sumber diplomatik mendedahkan kali terakhir mereka mendengar khabar tentangnya apabila pegawai di Rom menerima nota dari Pyongyang yang menyatakan tempatnya akan diganti diplomat lain.

Akhbar Korea Selatan, JoongAng Ilbo bagaimanapun melaporkan duta terbabit berada di 'tempat selamat' bersama keluarganya. - BBC