Erdogan saman majalah Perancis

Tindakan majalah itu didakwa satu bentuk penghinaan awam kepada Erdogan dan ia merupakan satu jenayah di Turki.
Tindakan majalah itu didakwa satu bentuk penghinaan awam kepada Erdogan dan ia merupakan satu jenayah di Turki.
A
A
A

ANKARA - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memfailkan saman ke atas majalah Perancis yang menggelar beliau sebagai 'The Eradicator' (Penghapus) selepas beliau melancarkan operasi ketenteraan menyasarkan pejuang Kurdish di Syria.

Agensi berita Anadolu hari ini melaporkan tindakan undang-undang tersebut dibuat terhadap Pengarah Le Point, Etienne Gernelle dan ketua perkhidmatan antarabangsa majalah itu, Romain Gubert.

Muka depan majalah itu yang diterbitkan awal minggu lalu memaparkan gambar Erdogan memberi tabik hormat dengan tajuk 'Pembersihan etnik: Cara Erdogan' yang turut mencetuskan kritikan dari Ankara.

Ia juga menggelar Erdogan sebagai 'penghapus' dan memaparkan ayat provokasi 'Adakah beliau dibenarkan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang Kurdish dan mengancam Eropah?'

Menerusi petisyen yang dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya di Ankara, peguam Presiden, Huseyin Aydin berkata, muka depan majalah itu jelas satu bentuk penghinaan awam kepada Erdogan dan ia merupakan jenayah di Turki.

"Ia adalah satu contoh kebodohan dari negara yang sejarahnya penuh kejadian pembunuhan beramai-ramai dan membuat tuduhan tidak berasas seperti itu," kata Aydin.

Sementara itu, sumber pejabat pendakwa raya awam memberitahu siasatan telah dilancarkan selepas mereka menerima aduan tersebut.

Pada 9 Oktober lalu, tentera Turki melancarkan operasi ketenteraan terhadap pejuang Kurdish yang turut dikecam Barat termasuk Perancis yang melihat Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) sebagai 'alat efektif' untuk memerangi Daesh. - AFP

Artikel Berkaitan: