Harga RON97 turun 9 sen, RON95 dan diesel kekal

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 9 sen kepada RM2.59 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 1 November.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan pengiraan mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu sepatutnya RM2.29 seliter masing-masing.

“Ini menunjukkan penurunan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.38 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.31 seliter, namun harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 26 Oktober 2019 sehingga 1 November 2019 adalah berjumlah RM87.28 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: