'Adakah Islamofobia sedang merebak sekarang?'

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada kaum lain di negara supaya tidak melabelkan orang Melayu sebagai rasis.

Abdul Hadi berkata, orang Melayu sering dilabel demikian walaupun mereka hanya menuntut hak sendiri.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, perbuatan berkenaan perlu dihentikan kerana kesabaran orang Melayu ada batasnya.

“Melayu menerima nasib ini kerana keIslamannya. Kalau mereka tidak menganut Islam seperti kaum lain, maka tidak dilabel rasis.

“Kalau Melayu rasis, maka sejak awal lagi bangsa pendatang tidak mendapat kerakyatan, hak berpolitik untuk menjadi ahli Parlimen, Menteri Besar atau Ketua Menteri, menguasai ekonomi, mengamalkan agama dengan bebas, menggunakan bahasa ibunda dalam pendidikan sehingga mencapai kedudukan sebagaimana yang ada ini.”

“Adakah keadaan ini disebabkan oleh Islamofobia yang sedang merebak sekarang?

"Hanya Melayu yang terlalu bodoh dan lemah roh Islam serta hilang jiwa bangsanya sahaja tidak peka sehingga hilang jati diri di tanah airnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata, orang Melayu ketinggalan di belakang kaum lain kerana dasar penjajah yang sengaja menempatkan mereka di kawasan pedalaman yang jauh daripada semua kemudahan dan kemajuan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara ini menjadikan Melayu semakin terpinggir kerana kuasa pentadbiran berada di tangan penjajah.

“Maka, orang Melayu dan rumpun bumiputera lain terpinggir dan ketinggalan jauh ke belakang.

"Pada masa sama sikap Melayu Islam yang anti penjajah menolak bekerja dengan penjajah dan melawan penjajah sejak mula kedatangannya.

"Ini berbeza dengan kaum lain yang dibawa ke sini dan bersedia menjadi pekerja atau hamba sama ada menjadi pegawai atau kuli," katanya.