138 pusat KHM diwujudkan di Johor

Eddin Syazlee (kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Penerangan Johor, Zainuddin Ismail (kiri) ketika menghadiri majlis Perasmian Program Sepakat @ Komuniti Peringkat Negeri Johor di Pontian semalam.
Eddin Syazlee (kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Penerangan Johor, Zainuddin Ismail (kiri) ketika menghadiri majlis Perasmian Program Sepakat @ Komuniti Peringkat Negeri Johor di Pontian semalam.
A
A
A

PONTIAN - Sebanyak 138 pusat Komuniti Harapan Malaysia (KHM) sudah diwujudkan di seluruh Johor setakat ini dengan 10 daripadanya di daerah Pontian.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, kesemua 138 pusat tersebut merupakan sebahagian daripada 1,236 KHM yang sudah diwujudkan seluruh negara.

"Saya yakin KHM dapat memikul tanggungjawab untuk memasarkan, meningkatkan kefahaman dan penghayatan masyarakat setempat terhadap dasar-dasar kerajaan di samping memperkasakan jaringan komunikasi dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum," katanya berucap pada program Sepakat@ Komuniti Peringkat Negeri Johor di Kampung Haji Ashari, Kukup di sini hari ini.

Beliau berkata, menerusi KHM yang diwujudkan Jabatan Penerangan Malaysia itu, peranan masyarakat amat diperlukan bagi membantu kerajaan sebagai rakan strategik untuk menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, dalam ucapan sama, beliau turut memaklumkan RM21.6 bilion diperuntukkan kerajaan bagi menyediakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara sebagai persiapan berdepan cabaran global dalam ekonomi digital.

"Ekonomi digital merubah landskap ekonomi dunia dengan memberikan peluang baharu kepada semua untuk menggunakan internet tanpa mengira lokasi, tahap sosioekonomi, kaum, umur, jantina dan sebagainya.

"Dengan adanya kesaling hubungan digital yang meluas, rakyat akan dapat merasai perubahan ke arah Kemakmuran Bersama dengan lebih menyeluruh," katanya.

Mengenai program Sepakat@Komuniti Peringkat Negeri Johor itu, Eddin Syazlee berkata, beliau percaya ia bukan sahaja menjadi medium untuk kerajaan memberi penerangan secara bersemuka mengenai isu-isu semasa, malah turut dilihat sebagai medium memupuk semangat perpaduan. - Bernama

Artikel Berkaitan: