Kampung Baru: Harga tawaran baharu berbaloi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Harga tawaran baharu pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 bagi setiap satu kaki persegi dianggap berbaloi dan menarik.

Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB), Syed Badli Shah Syed Osman berkata, tawaran baharu itu juga berbaloi apabila diumumkan RM150 daripada jumlah RM1,000 tersebut akan ditawarkan dalam bentuk pegangan saham Syarikat Tujuan Khas (PSV).

“Saya menyambut baik tawaran terbaharu kerajaan berkaitan harga tanah Kampung Baru yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

“Saya menganggap tawaran ini sebagai sesuatu yang sangat berbaloi kerana tawaran sepertinya boleh dianggap sebagai menang-menang dan peluang seperti ini tidak harus disia-siakan.

“Matlamat utama tawaran ini adalah untuk melihat Kampung Baru berjaya dibangunkan dengan mengekalkan hak milikan orang Melayu.

“Sekiranya pemilik masih merasakan tawaran ini tidak berbaloi, saya khuatir impian untuk melihat Kampung Baru dibangunkan dengan mengekalkan hak milik orang Melayu akan jadi sia-sia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Syed Badli yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berkata, kerajaan juga menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus kepada pemilik untuk membeli semula harta tanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak.

Menurutnya, tawaran terbaharu itu menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) begitu serius merealisasikan pembangunan dengan mengekalkan status hak milik orang Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan terdahulu gagal mengemukakan sebarang bentuk cadangan yang bernas apatah lagi tawaran yang berbaloi.

“Justeru itu, saya menggesa kepada pemilik tanah untuk berfikir secara positif sambil merenung ke masa hadapan sebelum menerima tawaran terbaharu daripada kerajaan demi merealisasikan pembangunan yang diidamkan,” katanya.