Orang ramai diminta jauhi pokok: APM

Sebuah kereta dihempap pokok yang tumbang di Kuala Terengganu.
Sebuah kereta dihempap pokok yang tumbang di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus menerima tiga panggilan pokok tumbang ekoran tempias ribut Tropika Pabuk sepanjang hari ini.

Pegawai APM Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, dua kes berlaku di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus manakala satu lagi di Pulau Redang namun ianya tidak melibatkan nyawa.

Bagaimanapun menurutnya, sebuah kereta mengalami kerosakan akibat dihempap pokok ketika meletakkan kenderaan itu di bandar Kuala Terengganu.

“Kejadian pokok tumbang ini akibat tempias angin ribut Tropika Pabuk khususnya pokok-pokok yang berada berhampiran pantai.

“Kita menggunakan kekuatan 10 anggota bagi membantu penduduk yang terlibat dengan pokok tumbang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk terutama yang tinggal di kawasan pesisir pantai supaya tidak bermain atau berada berhampiran pokok-pokok bagi memastikan keselamatan masing-masing.

“Bagi pemilik kenderaan pula, kita harap mereka tidak meletakkan kenderaan masing-masing di bawah pokok supaya mengelak berlakunya perkara tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Kamal Hakim memaklumkan pihaknya memasang bendera merah di Pantai Batu Burok sebagai tanda amaran dan makluman pengunjung agar tidak menghampiri kawasan pantai ekoran laut bergelora.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif itu katanya bagi mengelak pengunjung mandi pada musim tengkujuh sekaligus menjaga keselamatan orang awam yang datang ke pantai.

“Kita berterima kasih kepada Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) Terengganu kerana turut membantu dalam memberi nasihat kepada orang awam yang datang ke pantai untuk mengelak berlakunya musibah.

“Kita harap kejadian lemas di Dungun baru-baru ini dapat dijadikan iktibar kepada masyarakat supaya lebih peka dengan situasi sekarang,” katanya.