AMK beri amaran tegas kepada Ronnie

NAZREE dan RONNIE
NAZREE dan RONNIE
A
A
A

SEREMBAN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) memberi amaran tegas kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu supaya menutup mulut dan berhenti melaga-lagakan pimpinan dan komponen Pakatan Harapan (PH).

Naib Ketua AMK, Nazree Yunus berkata, pandangan terbaharu yang mengheret Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk diambil tindakan adalah suatu pandangan yang sengaja mengeruhkan keadaan.

Sebaliknya beliau berkata, perkembangan semasa ketika ini memerlukan semua pihak khususnya pimpinan PH di semua peringkat mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjamin kestabilan kerajaan bagi membina semula ekonomi negara.

"Justeru, sebaiknya YB Ronnie berhenti menjadi parasit dalam politik yang boleh melumpuhkan kesepakatan dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan.

"Malah, saya cukup yakin bahawa sikap bodoh sombong dan kenyataan-kenyataan YB Ronnie Liu sebelum ini juga mampu menggugat muafakat utuh PH sebagaimana yang telah mengakibatkan perpecahan kepada Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, pihaknya turut mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek itu tidak sama sekali mencampuri urusan dalam PKR.

"AMK meminta kepimpinan DAP supaya segera mendisiplinkan YB Ronnie sebelum keadaan bertambah buruk sehingga menjejaskan kestabilan PH dan kerajaan," katanya.

Terdahulu, Ronnie menerusi sebuah laporan portal berita tempatan pada Selasa lalu turut mengundang kontroversi apabila mendakwa PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan itu, dia turut mempersoalkan pendirian Perdana Menteri menerima bekas ahli politik UMNO sebagai ahli Bersatu dan kegagalan Dr Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.