MCA Tanjung Piai hantar satu nama calon

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - MCA Bahagian Tanjung Piai mengesahkan telah menghantar satu nama calon ke pucuk pimpinan parti itu bagi dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketuanya, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, calon terbabit merupakan pimpinan bahagian MCA Tanjung Piai, namun enggan mendedahkan mengenai individu terbabit buat masa ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata, pihaknya masih belum mengetahui keputusan pucuk pimpinan sama ada akan meletakkan calon dari UMNO atau MCA dalam PRK tersebut, namun memberitahu pihaknya akur terhadap sebarang keputusan pucuk pimpinan bagi memastikan BN merampas kembali kerusi Parlimen tersebut.

Wee Jeck Seng
Wee Jeck Seng

"Kita (MCA Bahagian Tanjung Piai) ikut prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan BN.

"Apa sahaja keputusan BN, kita terima sahaja. Kalau sudah umum nanti, kita akur terima dengan hati terbuka," katanya ketika ditemui di Kukup di sini hari ini.

Jeck Seng berkata, seramai 8,000 ahli MCA Bahagian Tanjung Piai akan bersama- sama jentera BN pada PRK Tanjung Piai dengan tiga bilik gerakan telah dibuka parti itu di Taman Utama Pekan Nanas, bandar Pontian dan Ayer Masin Kukup.

Artikel Berkaitan:

Datuk Seri Wee Jeck Seng pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada tahun 2013 hingga 2018, manakala sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas.

BN sehingga kini masih berteka-teki sama ada mahu meletakkan calon daripada UMNO atau MCA di PRK Tanjung Piai.

Parlimen Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi MCA sebelum ini, namun wujud desakan daripada UMNO Bahagian Tanjung Piai agar kerusi itu diserahkan kepada parti berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Jeck Seng kalah tipis kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan perbezaan 524 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan 16 November ini susulan kematian Dr Md Farid, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meninggal dunia di Hospital Pontian, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 November depan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.