Kerajaan nafi ambil untung RON95, diesel

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan menafikan tuduhan kerajaan mengambil keuntungan daripada harga runcit produk petroleum tanpa mengenakan cukai jualan terhadap minyak RON95 dan diesel.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah subsidi petrol dan diesel untuk 11 bulan pertama 2018 adalah RM4,890 Juta.

"Sebenarnya, kerajaan memberi subsidi petrol dan diesel pada November, walaupun pada kos yang lebih rendah berbanding bulan terdahulu.

"Rekod rasmi terkini menunjukkan pada November 2018, Kerajaan membelanjakan RM4.1 Juta untuk subsidi petrol RON95 sepanjang bulan tersebut.

"Pada bulan yang sama, Kerajaan telah membelanjakan RM209.1 Juta untuk subsidi diesel," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menempelak kerajaan kerana mengutip lebihan 30 sen daripada rakyat bagi pembelian setiap liter minyak RON95, selepas harga runcit baru gagal ditetapkan 1 Januari.

Beliau mendakwa, rakyat sepatutnya membayar RM1.90 seliter bagi minyak RON95 dan bukannya RM2.20 seliter.

Khairy menegur kerajaan kerana masih belum membuat keputusan di hari ke-3 selepas sistem apungan minyak secara mingguan ditangguh, kerana perlu mengkaji bantahan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) terhadap penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Kerajaan nekad terus bersikap telus dan akan mengurangkan harga bahan bakar tersebut sekiranya harga minyak di pasaran dunia turun.

"Kerajaan akan melaksanakan mekanisme pengapungan pada Januari 2019 di mana harga runcit akan menurun secara mingguan jika Mekanisme Harga Automatik (APM) terus menurun.

"Jika harga APM meningkat, harga runcit akan distabilkan kepada kadar semasa iaitu RM2.20 per liter bagi RON95 dan RM2.18 per liter bagi diesel.

"Apabila Kerajaan melancarkan program subsidi petrol bersasar sebelum akhir tahun ini kelak, harga petrol dan diesel akan diapungkan sepenuhnya mengikut harga pasaran," ujar beliau.