Banjir di Kedah: Lima pusat pemindahan sementara dibuka

Anggota APM Baling mendokong seorang warga emas demi membantu memindahkan mangsa selepas air naik di daerah Baling.
Anggota APM Baling mendokong seorang warga emas demi membantu memindahkan mangsa selepas air naik di daerah Baling.
A
A
A

ALOR SETAR - Lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di mukim Bongor dan Siong, Baling, di sini akibat banjir selepas hujan turun lebat selama beberapa jam petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, setakat jam 8.15 pagi, seramai 94 mangsa melibatkan 32 keluarga dipindahkan ke PPS berhampiran masing-masing apabila kediaman dinaiki air.

Beliau yang juga Pegawai Pertahanan Awam Baling berkata, mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Lahar, Kampung Baru, Kampung Surau, Kampung Tanjung Merbau dan Kampung Lubuk Batu.

Sekumpulan anggota APM Baling membantu memindahkan mangsa banjir.
Sekumpulan anggota APM Baling membantu memindahkan mangsa banjir.

"Susulan itu, lima PPS iaitu Dewan Kampung Lalang, Surau Kampung Baru, Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derom, Surau Kampung Lahar dan Dewan Orang Ramai Batu 48 dibuka pada 7 pagi tadi.

"Sehingga jam 8.15 pagi, seramai 22 mangsa melibatkan sembilan keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Lalang, manakala tujuh penduduk daripada tiga keluarga ditempatkan di surau Kampung Baru di mukim Siong," katanya.

Menurutnya, bagi mukim Bongor, seramai 21 lagi mangsa membabitkan lima keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derom, 25 penduduk daripada tujuh keluarga di Surau Kampung Lahar dan 19 daripada lapan keluarga di Dewan Orang Ramai Batu 48.

Beliau berkata, kesemua mangsa terlibat berada di PPS berkenaan dipantau dan dibantu agensi terlibat seperti anggota APM, Penghulu Mukim dan Penyelaras Parlimen Baling.

Artikel Berkaitan:

Seorang kanak-kanak dibantu anggota APM Baling selepas rumahnya dilanda banjir.
Seorang kanak-kanak dibantu anggota APM Baling selepas rumahnya dilanda banjir.

Mohd Faizol berkata, penduduk dinasihatkan berpindah jika mengesan kenaikan air bagi keselamatan dan memastikan segala dokumen penting diletakkan di tempat selamat.

"Kita sedang memantau perkembangan banjir di daerah ini, malah sentiasa bersiap sedia untuk memindahkan penduduk yang terjejas secepat mungkin demi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, hujan lebat selama tujuh jam petang semalam turut menyebabkan air naik di Kampung Jerai, Kampung Bendang Termingat, Kampung Tanjung Setar dan Kampung Kemelong.

Susulan itu, beliau yang juga Pegawai Pertahanan Awam Sik berkata, sebuah PPS di Masjid Namek dibuka bagi menempatkan lapan mangsa dari lima keluarga kira-kira jam 1 pagi bagaimanapun ditutup pada jam 8.30 pagi selepas mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan cuaca baik dan kawasan dinaiki air mula surut.