'Bomba cilik' hidap kanser otak meninggal dunia

Facebook Wan Shahriza
Facebook Wan Shahriza
A
A
A

SHAH ALAM - Genap 20 hari hajat Ahmad Danial Ahmad Suhairi, 7, yang menghidap kanser otak tahap empat untuk menjadi anggota bomba tercapai, namun hari ini dikhabarkan pemergian 'bomba cilik' itu menghadap Ilahi.

Berita sedih itu dimaklumkan menerusi akaun Facebook Pengerusi Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (Pesona), Wan Shahriza Wan Ab Rahman, lima jam lalu.

"Inalillahiwainailahirojiun. Selamat berpulang, anakanda Danial. Al-Fatihah. Ahmad Danial Ahmad Suhairi pada 2 Februari 2012 - 25 Oktober 2019 akibat kanser otak Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG)," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Impian Ahmad Danial jadi bomba tercapai

Sebelum ini, Sinar Harian pada 5 Oktober lalu menyiarkan kisah arwah Ahmad Danial yang teruja menjadi anggota bomba.

Menurut bapanya, Ahmad Suhairi Ali, 33, keinginan anaknya untuk menjadi anggota bomba disuarakan kepadanya sebelum ini apabila teruja melihat anggota bomba bertugas.

JBPM Pahang tunaikan impian Ahmad Danial untuk menjadi anggota bomba dengan mengenakan pakaian seragam lengkap. - Foto Arkib Sinar Harian
JBPM Pahang tunaikan impian Ahmad Danial untuk menjadi anggota bomba dengan mengenakan pakaian seragam lengkap. - Foto Arkib Sinar Harian

Ahmad Danial disahkan menghidap kanser otak pada Mac lalu sebelum disahkan lumpuh dua bulan kemudian.

Artikel Berkaitan:

Kata Ahmad Suhairi, anak sulung dari tiga beradik itu memerlukan penjagaan rapi termasuk dibantu menguruskan diri dan ditolak menggunakan kerusi roda.

“Kami sedar tanda awal dia diserang kanser otak ketika matanya mula menjadi juling. Kami bawa dia ke hospital sebelum disahkan menghidap penyakit itu.

“Menurut doktor yang merawatnya, tiada ubat boleh merawat atau memulihkannya lagi, jadi kami reda dan akan buat sehabis baik untuk menggembirakannya,” katanya.

Sementara itu, warganet melahirkan rasa sedih apabila menerima berita pemergian kanak-kanak ini dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

"Salam takziah untuk kedua ibu bapa adik Danial," tulis Ummi Rohaiyu Mohd Bakhair.

Kata Nur Khairul Bariyah, "Syurga buatmu anak"

Netizen juga mendoakan agar keluarganya terus kuat dan tabah menghadapi dugaan itu.

"Takziah ibu dan ayahnya... tiada dugaan yang lebih hebat dari kehilangan anak," kata Aby Rabi'ah.