UIAM hasilkan produk krim panas, sejuk

Dr Farahidah bersama produk krim panas dan sejuk iGesic yang dihasilkan.
Dr Farahidah bersama produk krim panas dan sejuk iGesic yang dihasilkan.
A
A
A

KUANTAN - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan berjaya menghasilkan produk krim panas dan sejuk yang dikenali iGesic untuk pelbagai kegunaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Prof Dr Farahidah Mohamed berkata, produk berwarna jernih itu mengambil masa enam bulan bagi tujuan penyelidikan sebelum berjaya dihasilkan.

Menurutnya, iGesic dihasilkan daripada campuran minyak herba bagi menghasilkan bau dan kesan berangin atau mentol serta panas bagi memberi lebih kelegaan kepada pengguna.

"IGesic ini ada sijil halal, jadi pengguna yang mementingkan kesucian tidak perlu was-was produk yang dikilang oleh IKOP Sdn Bhd.

"Produk ini sudah berada di pasaran tempatan sejak enam tahun lalu dan permintaannya sentiasa bertambah walaupun mendapat persaingan dengan pelbagai jenama terkenal bertaraf antarabangsa," katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Produk itu merupakan keluaran anak syarikat UIAM Kuantan, IKOP Sdn Bhd yang dihasilkan menerusi inovasi pensyarah dalam bidang farmasi.

Dr Farahidah berkata, iGesic dihasilkan dengan dua pilihan iaitu mentol dan panas yang hanya boleh digunakan pada bahagian luar anggota badan sahaja.

Katanya, kesannya mampu bertahan lebih tiga jam bagi sekali sapuan.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan iGesic dapat melegakan rasa kebas serta sengal otot bagi ahli sukan, warga emas dan mereka yang sentiasa aktif melakukan aktiviti pertanian dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Dr Farahidah berkata, individu yang mengalami sakit otot dan sendi yang tidak terlalu serius boleh menggunakan produk berkenaan kerana ia dapat melegakan dengan sapuan tiga hingga empat kali sehari.

Tambahnya, iGesic yang disediakan dalam bentuk tiup aluminium 20 gram boleh digunakan pada bayi berumur 2 tahun ke atas bertujuan untuk mencegah kembung yang mudah berlaku sekiranya tidak diberi perhatian.

"Produk iGesic kini banyak dijual di farmasi beberapa negeri dengan harga RM10.50 satu dan pasarannya dijangka terus bertambah secara berperingkat," katanya.