Langkah beku harta suami culas bayar nafkah perlu disokong

Mohamad Syukri
Mohamad Syukri
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan untuk membeku harta milik suami yang ingkar membayar nafkah isteri dan anak selepas bercerai perlu disokong oleh semua pihak.

Menurut Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Syukri, pembayaran nafkah melalui tindakan undang-undang perlu mendapatkan sokongan semua pihak agar suami peka terhadap tanggungjawab walaupun selepas bercerai.

"Perkara ini perlu disokong kerana ia merupakan satu langkah yang baik untuk memastikan bahawa kewajipan dilaksanakan seperti mana yang dituntut dalam agama Islam.

"Bahkan jika seorang isteri mengambil duit suami tanpa pengetahuannya demi memenuhi keperluan nafkah ia tidak dikira sebagai mencuri kerana isteri perlu menuntut hak yang selayaknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Semalam, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam rundingan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi melaksana tindakan membeku harta dan mengambil wang dari akaun bank suami yang ingkar keputusan mahkamah syariah.

Dalam pada itu, Mohamad Syukri berkata, pelaksanaan tersebut perlu dibuat dengan sebaiknya agar tidak menjejaskan pihak suami sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain yang lebih merumitkan.

"Pembekuan harta milik suami perlulah mengikuti piawaian yang sebetulnya demi mengelak dari wujudnya masalah lain yang boleh menyebabkan masalah ini menjadi lebih besar kerana pada asalnya hanya mahu menyelesaikan masalah yang kecil sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan: