Kashmir perlu solidariti dunia

A
A

KONFLIK baru yang tercetus ialah isu Kashmir. Walaupun isunya seumur dengan Palestin kini, namun ia meledak semula kerana India bertindak secara 'unilateral' bertentangan dengan resolusi 47 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setiap 27 Oktober adalah tarikh peringatan Hari Hitam Kashmir membabitkan peristiwa tentera India memasuki Kashmir dan melakukan pembunuhan massa (massacre) ke atas 300,000 warga Kashmir.

Bermula dari situ, Jammu dan Kashmir menjadi wilayah yang tertindas di mana tragedi kemanusiaan terburuk berlaku hampir setiap hari.

Mengikut catatan sejarah, sebanyak 14 kejadian pembunuhan massa berlaku akibat keganasan tentera India terhadap warga Jammu dan Kashmir sejak 1947.

Sejak India menghapuskan Perkara 370 dan 35A dalam perlembagaannya pada 5 Ogos lalu, status istimewa Jammu dan Kashmir digugurkan serta Kashmir diisytiharkan sebagai sebahagian daripada India.

Untuk mengelak rusuhan, India menguatkuasakan perintah berkurung terhadap Kashmir secara penuh (lockdown).

India bertindak menghantar tambahan 40,000 tentera ke Kashmir walaupun yang sedia ada sudah melebihi 500,000 askar sekali gus menjadi wilayah paling padat dengan operasi ketenteraan di dunia.

Perintah berkurung untuk tempoh 24 jam sejak 5 Ogos 2019 sehingga ke hari ini dikuatkuasakan. Tiada akses internet dan telefon, semua sekolah ditutup termasuk di institusi pendidikan dan masjid. Penduduk Kashmir juga tidak dibekalkan ubatan dan makanan malahan, kesemua aktivis dan pembangkang politik dicekup dan para pemberita luar juga dilarang melakukan sebarang liputan di Kashmir.

Kini, kira-kira lapan juta warga Jammu dan Kashmir terperangkap dalam operasi tentera India. Sebenarnya Jammu Kashmir diisytihar oleh PBB sebagai wilayah dipertikaikan sejak 1947.

Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan resolusi bahawa India sepatutnya mengadakan pengumpulan suara kepada warga Kashmir bagi menentukan sama ada mereka mahu bergabung dengan India atau Pakistan ataupun berdiri sendiri sebagai negara yang berdaulat. Akan tetapi India enggan melaksanakannya.

Sebaliknya, tentera India bertindak menggunakan senjata yang diharamkan dunia iaitu pelet gun terhadap penduduk Kashmir. Ribuan warga Kashmir telah buta akibat tembakan peluruh besi daripada senjata tersebut termasuk kanak-kanak dan wanita.

Dalam laporan Amnesti International, mangsa rogol oleh tentera India ke atas wanita Kashmir mencatatkan jumlah lebih 10,000 orang, manakala 'half widow' mencecah 22,000 orang.

Dunia nampaknya masih membisu dengan nasib Kashmir. Perdana Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan telah bersuara dalam Perhimpunan Agung PBB. Akan tetapi isu Kashmir belum diberi perhatian dunia dengan serius.

Dunia berdepan risiko amat tinggi jika isu Kashmir berlarutan dan India terus menindas warga Kashmir. Konflik mungkin sahaja bertukar menjadi perang antara dua negara nuklear dan keamanan dunia juga tergugat.

India kini bersedia mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Dasar Hindutva (faham nasionalis Hindu) di India dan Zionis Yahudi di Israel nampaknya bekerjasama.

Mapim mengangkat isu ini beberapa kali dalam media dan perhimpunan. Keutamaannya adalah untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa keganasan tentera India di Kashmir yang sempat melarikan diri ke sebelah Azad Jammu Kashmir iaitu di sebelah Pakistan.

Komitmen untuk mengumpul dana bagi membeli ambulans untuk mangsa sudah dilancarkan dan akan diserahkan kepada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Kashmir bagi membantu rawatan untuk mangsa.

Mereka yang mahu membantu boleh menyalurkannya kepada Dana Mapim Maybank Islamik 55822060531 dan boleh menghubungi Rozaidi 019-4443309 untuk sebarang pertanyaan.

*** Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.