Graduan protes cetus polemik baharu

Graduan Universiti Malaya protes di pentas majlis istiadat konvokesyen tular di media sosial baru-baru ini.
Graduan Universiti Malaya protes di pentas majlis istiadat konvokesyen tular di media sosial baru-baru ini.
A
A
A

UMUM mengetahui mengenai tindakan seorang graduan, Wong Yan Ke yang melakukan protes sambil mengangkat plakad tertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ di atas pentas sewaktu Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-59 baru-baru ini.

Tindakan protes itu dilakukan bagi mendesak Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim untuk meletak jawatan susulan ucapannya yang didakwa berbaur rasis sewaktu Kongres Maruah Melayu yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 6 Oktober lalu.

Isu itu adalah satu polemik baharu memandangkan protes sedemikian dipercayai tidak pernah berlaku dalam mana-mana majlis istiadat konvokesyen di Malaysia sebelum ini.

Ada pihak mencemuh malah tidak kurang juga yang mempertahankan tindakan graduan berkenaan atas dasar kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa.

Malah, kes yang berlaku itu juga mendapat perhatian beberapa pimpinan negara yang mempunyai pandangan berbeza berhubung tindakan tersebut.

Jika diteliti semula konteks ucapan Abdul Rahim sewaktu kongres itu, penulis sendiri tidak pasti bahagian manakah yang didakwa rasis oleh graduan kejuruteraan awam tersebut?

Kita ketepikan dahulu dakwaan rasis berkenaan dan cuba lihat isu yang ditimbulkan ini dalam skop lebih luas.

Jika benar kononnya wujud kenyataan rasis, tindakan protes dengan menggunakan pentas istiadat konvokesyen itu bukannya satu wadah terbaik malah langsung tidak menggambarkan ciri-ciri seorang mahasiswa kelahiran UM yang merupakan antara sebuah institusi pengajian tersohor di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mungkin tindakan protes sebegitu dianggap sebagai kebangkitan mahasiswa namun tanpa kita sedari apakah sebenarnya kesan akibat daripada perlakuan itu pada masa hadapan?

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berpandangan insiden di UM itu secara jelas menunjukkan bahawa hak kepada pentadbir kampus perlu lebih diperkasa agar kekal berwibawa dan terlindung daripada sebarang provokasi asing termasuk mahasiswa sendiri yang tidak semuanya mempunyai pemikiran matang.

Md Shukri berkata, tujuan pengajian tinggi bukan sahaja untuk memberikan segulung ijazah tapi melibatkan pembinaan prinsip, jati diri dan adaptasi gaya tindakan yang bersesuaian dengan amalan Malaysia.

“Sewajarnya graduan terbabit dikenakan tindakan yang berpatutan bagi memberi pengajaran supaya budaya seperti ini tidak lagi berlaku selepas ini.

“Tanpa pengajaran, tak mustahil graduan lain akan melakukan tindakan sama pada masa hadapan dan saya melihat peraturan serta ketertiban awam di kampus pengajian tinggi perlu terus dipertahankan,” katanya.

Acuan terbaik

Secara asasnya, budaya protes sebegini bukannya acuan terbaik bagi membentuk graduan millennial pada masa kini sehinggakan sanggup mengetepikan perihal adab dan budaya dalam melontarkan perbezaan pendapat masing-masing.

Tindakan mencemarkan istiadat konvokesyen melalui protes bukan sahaja memburukkan nama sesebuah institusi terbabit malah ia bertentangan dengan ‘adab’ seorang mahasiswa yang turut diraikan pada hari tersebut.

Sangat tidak adil apabila istiadat yang sepatutnya menjadi momen gembira buat semua para graduan bertukar menjadi kecoh seketika dek kerana tindakan protes sedemikian.

Perbezaan pendapat dan pandangan dalam sesuatu perkara bukannya menjadi tiket buat seseorang graduan untuk hilang rasa hormat dan melakukan sesuatu tindakan secara sesuka hati.

Graduan seharusnya lebih cakna memandangkan banyak platform yang dapat digunapakai oleh mereka dalam menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pentadbir sesebuah institusi dan bukannya melalui majlis istiadat konvokesyen.

*Asyraf Muhammad ialah wartawan Sinar Harian Edisi Selangor/KL