Rakyat perlu jelas struktur institusi diraja

Tuan Ibrahim - Foto Ihsan DBP
Tuan Ibrahim - Foto Ihsan DBP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemerkasaan terhadap institusi diraja perlu dibuat menerusi institusi pendidikan negara.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat perlu diberi kefahaman yang jelas mengenai struktur institusi diraja dalam aspek pentadbiran negara.

Menurutnya, walaupun sebelum ini kefahaman mengenai perkara tersebut pernah diserapkan dalam mata pelajaran Tatarakyat tetapi ia dilihat masih tidak mencukupi.

“Ia hanya sekadar sentuhan sambil lewa. Perkara ini mesti diperkasakan sebagai subjek untuk difahami.

“Konsep asas dan hubungan mesra raja serta rakyat juga perlu dibina. Kita tidak mahu raja hanya dirujuk sewaktu krisis, ketika ada masalah atau sewaktu hendak mendapatkan sumbangan.

“Kita mahu raja dirujuk ketika rakyat hendak mencari hala tuju negara,” katanya pada Seminar Diraja ke-enam (Siraj VI) dengan tema Sistem Beraja: Antara Realiti Dengan Harapan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini semalam.

Tuan Ibrahim merupakan salah seorang panel pada seminar berkenaan.

Ahli panel lain ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Sim Chee Keong; Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.

Artikel Berkaitan:

Panelis Seminar Diraja ke-enam (Siraj VI) dengan tema Sistem Beraja: Antara Realiti Dengan Harapan iaitu dari kiri: Jufitri, Tuan Ibrahim, Chee Keong, Mohd Asri dan moderator, Nazri Kahar. - Foto Ihsan DBP
Panelis Seminar Diraja ke-enam (Siraj VI) dengan tema Sistem Beraja: Antara Realiti Dengan Harapan iaitu dari kiri: Jufitri, Tuan Ibrahim, Chee Keong, Mohd Asri dan moderator, Nazri Kahar. - Foto Ihsan DBP

Tuan Ibrahim berkata, perlembagaan negeri juga memperuntukkan bidang kuasa raja adalah untuk memahami sesuatu berlaku di bawah jajahannya.

“Sebab itu, apabila raja mempersoalkan tentang politik negeri, baginda bukan cuba campur tangan tetapi memang bidang kuasa baginda untuk mengetahuinya.

“Nasihat, teguran dan pandangan perlu diberikan demi keharmonian serta masa depan negara. Rakyat pula harus menjadi pendokong,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau melihat isu peristilahan raja-raja Melayu telah mewujudkan satu naratif kepada persepsi umum bahawa golongan bukan Melayu tidak tertakluk di bawah institusi tersebut.

“Di peringkat ini, ada dua aspek yang perlu diketengahkan iaitu pertama, kita kena memahami mengenai kedudukan institusi raja dan kedudukan pentadbiran negara.

“Ia juga mengatasi institusi politik kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan institusi di mana Majlis Raja-Raja ada hak ke atas pelantikannya termasuk Perdana Menteri dan jemaah menteri,” katanya.

Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan merasmikan Siraj VI, diiringi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.