Polis cari pemandu Honda HR-V

Motosikal yang dinaiki dua beranak itu hanya calar di bahagian sisi.
Motosikal yang dinaiki dua beranak itu hanya calar di bahagian sisi.
A
A
A

SLIM RIVER - Polis sedang mengesan pemandu kereta jenis Honda HR-V putih yang dipercayai terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun di KM375.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Ketika kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Alyaa Hana Abd Hadi yang membonceng motosikal bapanya dalam perjalanan menuju ke Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) Muallim.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa bersama bapanya berusia 33 tahun menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki ZR750 telah dihimpit oleh kenderaan terbabit sebelum pemandu meninggalkan lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian itu turut disaksikan seorang lelaki berusia 36 tahun yang telah membuat laporan polis.

"Berdasarkan keterangan saksi, kenderaan itu cuba memotong dan menghimpit motosikal terbabit menyebabkan penunggang hilang kawalan lalu terbabas ke besi penghadang kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Wan Kamarul Azran berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Slim River.

"Bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan kanak-kanak terbabit meninggal dunia pada jam 8.35 pagi ketika sedang menerima rawatan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala. Bapanya yang juga seorang guru mengalami luka di badan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis akan memohon pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) daripada Plus bagi mengesan pemandu terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.