LBS lancar pangsapuri Melodi Perdana

Hock San (tiga dari kanan) bersama pengurusan syarikat pada Majlis Pelancaran Pangsapuri Melodi Perdana hari ini.
Hock San (tiga dari kanan) bersama pengurusan syarikat pada Majlis Pelancaran Pangsapuri Melodi Perdana hari ini.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Pemaju perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) melancarkan projek pembangunan pangsapuri Melodi Perdana dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM562 juta.

Pengarah Urusan LBS, Datuk Lim Hock San berkata, pangsapuri itu terdiri daripada empat blok dengan 1,520 unit ditawarkan kepada pembeli.

Menurutnya, harga pangsapuri tiga bilik tidur dan dua bilik mandi berkeluasan 901 kaki persegi itu ditawarkan pada harga permulaan RM359,900.

"Dengan harga menarik, unit baru ini menyasarkan golongan pemilik rumah pertama, profesional dan mereka yang mengimpikan kediaman persekitaran yang serba lengkap serta rangkaian kemudahan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pangsapuri Melodi Perdana di sini hari ini.

Replika rumah Pangsapuri Melodi Perdana.
Replika rumah Pangsapuri Melodi Perdana.

Hock San berkata, pihaknya menawarkan pelbagai prasarana serba lengkap serta suasana mesra komuniti berlandaskan gaya hidup sihat.

"Antara kemudahan disediakan seperti gimnasium, kolam renang, gelanggang badminton, futsal, bola keranjang dan balkoni yang dikelilingi suasana kehijauan," katanya.

Malah katanya, pangsapuri itu juga menitikberatkan aspek keselamatan dengan menawarkan konsep kediaman berpagar dan berpengawal bagi mewujudkan suasana harmoni, selain persekitaran tenteram dalam kalangan penghuninya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pangsapuri di pinggir bandar itu terletak di lokasi strategik yang pesat membangun seperti Puncak Alam dan Sungai Buloh.

"Melodi Perdana ini mempunyai rangkaian jalan raya yang sangat baik dengan akses ke Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Latar, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam yang dijadualkan siap pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata, pangsapuri itu direka dengan penuh teliti bagi memenuhi kehidupan selesa di pinggir bandar.

"Apa yang lebih penting, pembinaan pangsapuri ini seiring dengan komitmen LBS memajukan industri hartanah negara di samping memenuhi permintaan hartanah pada harga berpatutan," katanya.

Menurutnya, perbandaran LBS Alam Perdana menjadi tumpuan utama sejak kejayaan pelancaran sulungnya November 2017.

"Hampir ke semua unit fasa pertama, Simfoni Perdana dan fasa kedua, Irama Perdana habis dijual dalam tempoh 24 bulan selepas dilancarkan.

"Malah, fasa ketiga Rentak Perdana terdiri daripada 856 unit rumah teres dua tingkat turut mendapat sambutan apabila 80 peratus unit sudah dijual," katanya.

Hock San (kanan) memukul gong sebagai simbolik pelancaran Pangsapuri Melodi Perdana hari ini.
Hock San (kanan) memukul gong sebagai simbolik pelancaran Pangsapuri Melodi Perdana hari ini.