Pakar PBB gesa Myanmar diheret ke ICC

Pelarian Rohingya mengadakan protes sebagai membantah proses penghantaran pulang ke Myanmar.
Pelarian Rohingya mengadakan protes sebagai membantah proses penghantaran pulang ke Myanmar.
A
A
A

ANKARA - Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar, Prof Yanghee Lee telah menggesa Majlis Keselamatan merujuk situasi di negara itu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor agensi berita Turki Anadolu.

Lee semalam dalam satu taklimat akhbar di Perhimpunan Agung PBB di New York berkata, situasi keseluruhan di Myanmar perlu dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa atau satu tribunal antarabangsa perlu ditubuhkan bagi memastikan keadilan kepada rakyat Myanmar.

“Saya tetap yakin bahawa adalah tidak selamat bagi pelarian Rohingya (di Bangladesh) untuk pulang ke Myanmar sehingga situasi asas yang membawa kepada pengusiran mereka diperbetul,” kata Lee.

Lee turut menggesa agar sekatan dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang dikendali negara itu serta para pegawai yang bertanggungjawab melakukan pencabulan serius terhadap hak asasi manusia yang serius terhadap etnik Rohingya.

“Kepentingan ekonomi tidak boleh dikejar dengan mengorbankan hak asasi manusia,” katanya.

Ketua Misi Pencarian Fakta Antarabangsa Bebas PBB di Myanmar, Marzuki Darusman dalam taklimat yang sama berkata, pencabulan yang serius terhadap hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan telah dilakukan di Myanmar.

“Myanmar gagal melunaskan tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Genosid bagi menghalang, menyiasat dan menggubal undang-undang yang berkesan untuk menjenayahkan serta menghukum pesalah genosid,” katanya.

Marzuki berkata, misi itu mendapati bahawa jenayah di bawah undang-undang antarabangsa terus dilakukan oleh pasukan bersenjata Myanmar iaitu Tatmadaw.

Artikel Berkaitan:

“Ini mengesahkan bahawa kesimpulan terdahulu kami bahawa kitaran kezaliman membolehkan dan sememangnya menyalakan perlakuan tercela ini di pihak pasukan keselamatan,” katanya.

"Penganiayaan terhadap komuniti Rohingya di Myanmar terus berlaku dan ini menjadikan kepulangan hampir sejuta pelarian etnik itu dari Bangladesh, sesuatu yang tidak mungkin berlaku,” katanya.

Mengikut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas komuniti minoriti Islam itu pada Ogos 201 yang meningkatkan bilangan orang yang teraniaya itu di Bangladesh melebihi 1.2 juta.

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 umat Islam Rohingya telah dibunuh oleh tentera Myanmar, menurut satu laporan oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA). - Bernama