Cadang wujud liga amatur elak lepasan NFDP tercicir

KHALID ALI
KHALID ALI
A
A
A

LEGENDA kebangsaan, Khalid Ali mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewujudkan liga amatur kepada para pelatih lepasan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang tidak mendapat peluang beraksi dalam saingan liga profesional.

Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan dalam usaha memastikan bakat lepasan program tersebut dibentuk dengan baik sehingga mereka mampu meneruskan karier masing-masing.

“Untuk memastikan semua pemain NFDP ini boleh masuk ke saingan liga profesional mungkin agak sukar sebab mereka tidak mempunyai pengalaman yang banyak. Kekurangan pengalaman itu juga mungkin menjadi faktor pasukan Liga Malaysia (Liga-M) tidak mahu memberikan tempat kepada mereka.

“Jadi ke mana lepasan NFDP ini hendak pergi jika tiada pasukan profesional yang nak ambil mereka? Sayang jika bakat mereka ini dipersia-siakan. Disebabkan itu, liga amatur perlu diwujudkan untuk memberikan pengalaman kepada mereka sebelum masuk ke kancah profesional,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Khalid turut mencadangkan agar liga amatur tersebut diwujudkan mengikut zon serta dipecahkan kepada beberapa daerah.

“Liga ini boleh dizonkan, contohnya Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Negeri Sembilan. Jadi untuk empat negeri tersebut dah ada lebih daripada 30 pasukan yang mewakili daerah masing-masing dan diisi oleh pemain daripada NFDP.

“Untuk mengerakkan pasukan dari daerah tidak memerlukan dana yang tinggi. Jadi, pemain yang tak dipilih oleh pasukan Liga-M boleh bermain dalam saingan liga amataur ini dulu sebelum mereka masuk ke saingan liga profesional dua atau tiga tahun kemudian.

“Dalam saingan liga amatur ini juga jika ada pemain yang bagus, mereka boleh dihantar menimba ilmu di luar negara. Saya percaya jika langkah mewujudkan liga ini berjaya, isu keciciran dalam kalangan pelatih NFDP tidak akan timbul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta semua pasukan yang bersaing dalam Liga-M memanfaatkan kemahiran lepasan pelatih NFDP.

NFDP yang dilancarkan pada 2014 kini mempunyai lebih 25,000 pelatih seawal usia 12 tahun yang menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara termasuk lebih 200 pelatih elit berpangkalan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Kuantan.