Kedah yakin petani terima baik penanaman padi skala besar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri yakin petani di negeri ini akan menerima konsep Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) yang merupakan penambahbaikan kepada projek estet padi sedia ada di kawasan Muda.

Exco Pertanian dan Sumber Tani, Azman Nasrudin berkata, walaupun masih memerlukan kajian mendalam berhubung mekanisme pelaksanaannya, pihaknya yakin petani menyambut baik PPSB kerana ia mampu meningkatkan hasil dan pendapatan.

Menurutnya, PPSB masih di peringkat cadangan dan penetapan konsep akan dilakukan menerusi sesi libat urus bersama pemain industri dan agensi terlibat.

“Program ini berteraskan kepada penyatuan pengurusan tanaman padi bukannya penyatuan tanah secara fizikal yang melibatkan penyusunan semula tanah milik pesawah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) berhubung mekanisme yang akan diguna pakai dalam PPSB pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Azman berkata, strategi pelaksanaan PPSB meliputi penetapan sasaran 1,000 hektar kawasan sawah sebagai permulaan pelaksanaan di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) musim 1/2020.

“Pengurusan aktiviti tanaman padi dijalankan secara seragam oleh operator yang terlibat sama ada usahawan padi, PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) atau GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

"Pesawah yang tidak produktif (berusia, uzur, tiada pewaris, saiz usaha bawah 5 hektar) digalakkan menyerahkan tanah milik mereka untuk diusahakan operator terlibat,” katanya.

Menurutnya, pesawah akan menerima pendapatan berdasarkan kaedah yang dipersetujui bersama.

Artikel Berkaitan:

“Pembangunan program 'exit policy' kepada golongan ini setelah mereka serahkan tanah melalui peluang kerja yang bersesuaian sebagai alternatif sumber pendapatan tambahan,” katanya.

Azman berkata, bagi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pelaksanaan estet padi antaranya adalah untuk menangani isu industri padi seperti umur petani berusia, saiz ladang tidak ekonomik serta kurangnya penglibatan belia.

“Tanaman mini estet dilaksanakan di peringkat PPK bawah kendalian LPP sejak 1993. Untuk 2020, LPP Kedah sarankan kepada PPK untuk menambah kawasan selain memperluaskan kepada lima PPK, iaitu PPK Lubuk Batu, PPK Gurun, PPK Sik, PPK Selama dan PPK Sungai Petani yang belum menyertai program ini,” katanya menjawab soalan Datuk Phahrolrazi Zawawi (Amanah- Alor Mengkudu) berhubung pelaksanaan estet padi yang memerlukan penyatuan tanah sawah seperti disarankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, LPP telah meminta semua PPK menyenaraikan kawasan tanah sawah terbiar dan mengenal pasti punca masalah yang menjadikan tanah itu terbiar.

“Ia membolehkan tanah terbiar ini diusahakan untuk program mini estet padi. Kita akan syorkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengkaji semula atau penambahbaikan saliran, perataan tanah dan pengapuran tanah bagi kawasan luar Jelapang," katanya.