Lemas ketika cari kerang di laut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PASIR PANJANG – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari kerang, semalam meninggal dunia selepas ditemui terdampar di persisiran pantai oleh sekumpulan nelayan, hari ini.

Mayat Shamsuri Baharuddin, 44, ditemui sekitar jam 1.15 petang di kawasan laut Pasir Belanda oleh rakan-rakannya yang membantu pihak berkuasa dalam operasi mencari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, mangsa dikatakan menaiki sampan dari Jeti Parit Haji Dollah Batu 10 Lekir untuk mencari kerang sekitar jam 4 petang.

Bagaimanapun menurutnya, rakan-rakan mangsa yang turun sama ke laut telah sampai ke jeti pada jam 2 pagi, sementara mangsa belum pulang ke rumah meskipun telah melewati jam 6 pagi.

“Rakannya memberitahu mereka tidak nampak sampan dinaiki mangsa di sekitar kawasan mencari kerang, semasa kejadian angin di laut adalah kuat dengan ketinggian ombak mencecah 1 hingga 1.5 meter.

“Abang mangsa yang bimbang dengan keadaan itu meminta bantuan rakan untuk mencari sehingga ke kawasan perairan Bagan Datuk, namun tidak menemui sebarang petunjuk,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari yang digerakkan di kawasan Pasir Belanda berjaya menemui mangsa, namun disahkan meninggal dunia.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel Berkaitan: