'Bersyukur, terima kasih kepada sistem raja berperlembagaan'

Mohd Asri Zainul Abidin - Foto DBP
Mohd Asri Zainul Abidin - Foto DBP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan semua pihak perlu bersyukur dan 'berterima kasih' kepada sistem raja berperlembagaan yang diamalkan negara.

Beliau berkata, sistem berkenaan terbukti menjamin keadilan dan kestabilan politik.

Beliau turut memberi contoh ketika pentadbiran kerajaan Malaysia diambil alih pembangkang yang memenangi pilihan raya umum ke -14 (PRU14).

Katanya, pertukaran kerajaan berlaku tanpa pergaduhan atau pertumpahan darah.

"Soalnya, kenapa pertukaran kerajaan ini berlaku dengan mudah?

"Ini disebabkan kewujudan sistem di mana perdana menteri tidak memiliki kuasa penuh terhadap tentera, polis serta sistem lain...dan apabila dia tewas, raja atau Yang Dipertuan Agong yang akan menentukan kerajaan seterusnya.

"Maka raja yang tidak terlibat dalam politik pilihan raya menaungi negara secara umum dan perubahan pentadbiran berlaku dalam sistem demokrasi raja berperlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap selaku panel pada Seminar Diraja ke-enam (Siraj VI) dengan tema Sistem Beraja: Antara Realiti Dengan Harapan yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan merasmikan Siraj VI diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mohd Asri berkata, realiti (pentingnya sistem beraja) yang berlaku di Malaysia, malah turut dilakukan di kebanyakan negara Arab.

Beliau berkata, sebagai contoh negara Arab yang mengguna pakai sistem beraja seperti Jordan dan negara teluk kekal walaupun mengalami pelbagai pergolakan.

"Berbeza dengan negara yang tidak mempunyai sistem beraja seperti Mesir, Syria, Algeria semuanya jatuh tanpa sokongan sistem tersebut," katanya.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, dua perkara yang sangat penting dalam pentadbiran negara ialah keadilan dan kestabilan.

"Jika wujud keadilan tetapi tiada kestabilan, pemimpin tidak akan boleh memerintah begitu juga sebaliknya," katanya.

Antara panelis lain ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Sim Chee Keong, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.