Peniaga ingkar diberi notis

Penguasa kesihatan menyerahkan Notis Peringatan kepada pemilik premis makanan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok di kawasan perniagaan.
Penguasa kesihatan menyerahkan Notis Peringatan kepada pemilik premis makanan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok di kawasan perniagaan.
A
A
A

KLANG – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang mengeluarkan 41 notis peringatan dikeluarkan dalam Ops Penguatkuasaan Pendidikan Kesihatan Premis Makanan (Larangan Merokok) yang dijalankan di premis makanan sekitar Taman Sri Andalas dan Bukit Tinggi, hari ini.

Ketua Pengarah Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, 36 notis peringatan diserahkan kepada pemilik premis makanan kerana gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok di premis perniagaan mereka mengikut spesifikasi.

“Lima lagi notis diberikan kepada perokok yang merokok di kawasan yang telah diwartakan,” katanya ketika ditemui semasa operasi berkenaan.

Katanya, sebanyak 68 premis dilawati sepanjang operasi berkenaan.

“Seramai 21 penguat kuasa kesihatan dari PKD Klang terlibat dalam operasi hari ini (semalam) dan kita telah melawat 68 premis makanan di lot kedai Sri Andalas, Medan Selera Sri Andalas, Gerai Taman Rakyat dan peniaga trak makanan di Bukit Tinggi, Klang.

“Kita telah memulakan Operasi Penguatkuasaan Pendidikan Kesihatan ini sejak 1 Januari lalu hingga 30 Jun ini,” katanya.

Dalam operasi itu, PKD Klang turut mengedarkan 360 risalah larangan merokok di premis menjual makanan dan tempat tumpuan orang ramai.

“Diharap dengan cara ini kita dapat mendidik perokok serta pengusaha premis makanan agar peka dengan kesihatan orang lain terutamanya kanak-kanak, ibu mengandung serta warga emas.

Artikel Berkaitan:

“Ia sekali gus dapat memberi keselesaan kepada mereka untuk menikmati makanan tanpa gangguan asap rokok. Kerjasama orang ramai dan pengusaha premis amat kita alu-alukan,” katanya.

Penguasa kesihatan menyerahkan notis peringatan kepada pemilik premis makanan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok di kawasan perniagaan.