Tanah Kampung Baru: Kerajaan tawar RM1,000 sekaki persegi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan hari ini mengumumkan harga tawaran baharu pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 bagi setiap satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Tambahan harga RM150 setiap kaki persegi itu akan diperolehi dalam bentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pegangan saham tersebut akan menjamin hak pemilikan tanah pemilik asal seterusnya mereka akan mendapat manfaat daripada pembangunan di kawasan segi tiga emas itu.

Menurutnya, tawaran RM850 bagi satu kaki persegi itu pula merangkumi pilihan pulangan sama ada dalam bentuk tunai, unit siap (rumah), kombinasi pulangan tunai dan unit siap (rumah) serta pegangan saham dalam SPV.

"Perincian daripada segi struktur pegangan saham akan diperhalusi oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani kelak.

"Bagi pemilik yang memilih dalam bentuk hartanah atau aset, potongan harga sebanyak 15 peratus akan diberikan untuk pembangunan yang akan dilaksanakan kelak.

"Sebagai contoh harga rumah Residensi Wilayah yang dibangunkan di Kampung Baru ini akan dijual kepada pemilik tanah pada harga RM255,000 seunit sahaja dengan keluasan lantai 900 kaki persegi berbanding harga biasa iaitu RM300,000 seunit," katanya dalam sidang akhbar khas pengumuman cadangan tawaran baharu tanah Kampung Baru di sini hari ini.

Khalid berkata, pengumuman tawaran baharu itu membuktikan tuduhan bahawa kerajaan mahu menggadai pemilikan orang melayu, adalah tidak benar.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, beliau menggalakkan pemilik membeli rumah yang akan dibangunkan di kawasan berkenaan agar dapat mengekalkan identiti mereka.

“Saya harap pemilik asal beli rumah yang kita bina nanti. Kita nak galakkan orang Kampung Baru duduk dan datang balik ke Kampung Baru.

"Orang kata saya nak jadi broker saham... sedangkan saya nak beli (tanah), nak jual pada Melayu. Kalau jual (hartanah) harga tinggi Melayu tak mampu beli. Kita beli (tanah) harga Melayu, kita jual (hartanah) harga Melayu juga," katanya.

Beliau berkata, pemilik perlu menetapkan pilihan bentuk pulangan yang mahu diperolehi dari peringkat awal dan tidak dibenarkan membuat pertukaran pilihan selepas menandatangani persetujuan tersebut.

Khalid berkata, tawaran berkenaan adalah tawaran terakhir dan yang terbaik boleh diberikan kerajaan kepada 825 pemilik lot di Kampung Bharu itu dibuat selepas dua siri pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pada sesi pertemuan bersama penduduk pada September, sebanyak 1,371 daripada 2,500 borang maklum balas sudah diterima dan daripada jumlah itu, 96 peratus sudah menyatakan persetujuan mereka.

"Ini tawaran terakhir, apa kita akan buat selepas ini adalah turun dan bertemu pemilik setiap lot dan jelaskan. Sama ada mereka setuju atau tidak biar atas dasar pemahaman jelas... saya rasa mereka masih ada yang tidak faham," katanya.

Tarikh akhir bagi penyerahan borang maklum balas itu ditetapkan pada 30 November depan.

September lalu, Khalid mengumumkan tawaran harga RM850 kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula atas tanah seluas 62 hektar.

Pada 22 April, Khalid dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau 'runcit' oleh pemilik tanah bersama pemaju.