X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Kadar kesuburan rakyat Malaysia menurun

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Kadar kesuburan di Malaysia menurun daripada 1.9 anak pada 2017 kepada 1.8 anak bagi setiap perempuan berumur antara 15 hingga 49 tahun pada 2018, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, kadar kesuburan tersebut berada di bawah paras penggantian 2.1 anak, iaitu purata bilangan bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh reproduktifnya, adalah tidak mencukupi untuk menggantikan dirinya dan juga pasangannya.

"Penurunan kadar kesuburan ini adalah disebabkan oleh penurunan 1.3 peratus bilangan kelahiran hidup yang direkodkan pada 2017, iaitu daripada 508,685 kelahiran hidup kepada 501,945 pada 2018,” katanya dalam kenyataan berhubung laporan Perangkaan Penting, Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu membentangkan statistik kelahiran dan kematian mengikut ciri-ciri demografi di Malaysia bagi tahun 2018 sebagai input utama untuk penggubalan dasar dan perancangan program bagi bidang kesihatan, pendidikan dan pekerjaan.

Mohd Uzir berkata, penurunan bilangan kelahiran itu telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar menurun daripada 15.9 pada 2017 kepada 15.5 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2018.

Menurutnya, trend penurunan tersebut adalah selari dengan negara maju seperti Australia (1.8 anak), United Kingdom (1.8 anak), Kanada (1.5 anak), Singapura (1.2 anak) dan Korea Selatan (1.1).

"Selari dengan penurunan kadar kelahiran, purata umur ibu pada kelahiran hidup pertama juga terus meningkat, 0.1 tahun daripada 27.7 pada 2017 kepada 27.8 tahun pada 2018.

"Secara amnya, peningkatan purata umur ibu pada kelahiran pertama memberi indikasi terhadap tempoh reproduktif wanita yang semakin singkat," katanya.

Menurut Mohd Uzir, laporan tersebut menunjukkan daerah Kuala Terengganu, Terengganu merekodkan kadar kelahiran kasar tertinggi pada 2018 dengan 30.5 bagi setiap 1,000 penduduk manakala Bagan Datuk, Perak mencatatkan kadar terendah iaitu 2.9.

Bagi jumlah kematian yang direkodkan di Malaysia pula, 2018 mencatatkan sebanyak 172,031 jumlah kematian iaitu peningkatan 2.3 peratus berbanding 168,168 kematian pada 2017.

"Kadar kematian kasar kekal pada 5.3 bagi setiap 1,000 penduduk bagi tempoh yang sama.

"Daerah Sabak Bernam, Selangor mencatatkan kadar kematian kasar tertinggi pada 2018 iaitu 8.4 bagi setiap 1,000 penduduk. Daerah Kinabatangan di Sabah mencatatkan kadar terendah iaitu 0.7," katanya.

Mohd Uzir berkata, perubahan struktur umur penduduk merupakan antara penyumbang kepada peningkatan bilangan dan kadar kematian di Malaysia.

"Selari dengan peningkatan dalam jumlah penduduk tua di Malaysia (65 tahun ke atas), kadar kematian juga menunjukkan sedikit peningkatan tetapi dengan kadar perlahan setiap tahun mulai 2011 sehingga sekarang," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!