Bekalan air berjadual seluruh Johor dihentikan Sabtu ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekalan air berjadual di seluruh negeri akan ditamatkan pada Sabtu ini berikutan musim hujan yang berterusan sejak beberapa minggu lalu.

Exco Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ia melibatkan daerah Kota Tinggi, Kluang (Simpang Rengam), Pontian dan Mersing.

“Langkah ini dapat dilakukan selepas mengambil kira situasi musim hujan yang telah bermula sejak beberapa minggu yang lalu dan diharap taburan hujan ini dapat membantu meningkatkan paras empangan dan sungai yang terkesan.

“Namun begitu, para pengguna disarankan merancang penggunaan air dengan teratur dan berhemah memandangkan paras semasa empangan dan sungai yang berkaitan masih lagi belum stabil dan mencapai paras normal,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Jimmy berkata, Sungai Gembut yang membekalkan air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gembut sehingga dua hari lepas merekodkan bacaan paras semasa 0.22 meter berbanding paras normal 0.77 meter.

“Bagi Sungai Sedili Kecil yang membekalkan air mentah kepada LRA Lok Heng, bacaan paras semasa adalah pada 1.53 meter berbanding 2.75 meter paras normal.

“Seterusnya, Empangan Machap yang membekalkan air kepada LRA Simpang Renggam mencatatkan bacaan 14.38 meter berbanding 16.00 meter paras normal, dan bagi Empangan Labong pula yang membekalkan air mentah kepada LRA Endau mencatatkan bacaan 5.07 meter berbanding 8.42 meter paras normal,” katanya.

Jimmy berkata, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan kerjasama operator SAJ Ranhill, pihaknya akan berusaha semaksimum mungkin bagi memastikan bekalan air bersih di negeri ini sentiasa mencukupi agar bekalan air berjadual tidak dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Melainkan atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan seperti faktor cuaca panas kering melampau,” katanya. - Bernama