Klopp gembira dalam kecewa

Chamberlain menjaringkan dua gol ketika aksi menentang Genk.
Chamberlain menjaringkan dua gol ketika aksi menentang Genk.
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui lega dengan kemenangan 4-1 ke atas kelab Belgium, Genk aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luminus, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Klopp kurang gembira dengan persembahan para pemainnya yang menyaksikan The Reds bergelut untuk mencari rentak permainan selain gagal mengelakkan gawang daripada dibocori.

"Kami bermula baik pada separuh masa pertama dengan Alex Oxlade Chamberlain berjaya menjaringkan gol pertama. Tetapi selepas itu, saya tidak pasti apa yang tidak kena sehingga kami tidak fokus dan banyak hilang bola. Namun, empat gol yang dihasilkan pemain sangat menyenangkan saya.

"Dalam beberapa tahun sebelum ini, kami mungkin akan hanya dapat keputusan seri atau kalah jika bermain dengan corak permainan seperti ini. Nasib baik ia berlaku sebaliknya tahun ini. Ia perlawanan yang sukar dan dalam aksi akan datang kami perlu memperbaikinya," katanya.

Dalam perlawanan itu Chamberlain meledak dua gol pada minit kedua dan ke-57 sebelum Sadio Mane dan Mohamed Salah mengukuhkan kedudukan pada minit ke-77 dan ke-87.

Hasrat The Reds untuk mengelakkan gawang daripada dibolosi bagaimanapun tidak kesampaian apabila Stephen Odey berjaya menjaringkan gol saguhati buat Genk pada minit ke-88.

Klopp turut mengakui beberapa kelemahan yang ditampilkan barisan pemainnya dalam perlawanan itu, namun menegaskan ia berpunca daripada beberapa pertukaran pemain yang dilakukannya.

"Di bahagian tengah saya melakukan sedikit perubahan dengan memasukkan Naby Keita dan Chamberlain yang sudah lama tidak bermain. Ia sedikit memberikan kesan.

Artikel Berkaitan:

"Malah, lawan kami juga memasukkan pemain tinggi mereka dan bermain baik dengan bola pertama dan kedua. Ia bukan permainan yang bagus tetapi saya menikmati kemenangan ini," katanya.