Nak turun harga RON95, ini saranan Pas

Dr Khairuddin Aman Razali
Dr Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyatakan sekiranya kerajaan serius mahu menurunkan kos sara hidup rakyat, had maksimum harga runcit RON95 wajar direndahkan ke paras RM2.10 berbanding RM2.20.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, jika tidak, harga RM2.20 seliter yang ditetapkan hanya sandiwara mahu melindungi pengguna daripada impak kenaikan harga.

Menurutnya, ini kerana, sejak diapungkan secara mingguan bermula Mac 2017 hingga April 2018 hanya 16 daripada 52 minggu RON95 diniagakan antara RM2.20 hingga RM2.30.

"Hanya empat minggu sahaja ia dijual melebihi RM2.30 selari dengan turun naik harga minyak mentah dunia.

"Baki 32 minggu lagi harga runcit RON95 sememangnya dijual antara RM1.89 hingga RM2.20. Oleh itu, jika kerajaan menetapkan had maksimum harga runcit petrol ini pada RM2.20, ia hampir sama dengan apa yang berlaku ketika zaman BN," katanya dalam, satu kenyataan, hari ini.

Pada 24 Disember lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan kerajaan akan menukar kaedah penetapan harga RON95 secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada mingguan.

Katanya, sekiranya harga petroleum dunia meningkat, kenaikan tersebut akan dikawal dan dihadkan kepada RM2.20 untuk RON95 dan RM2.18 bagi diesel.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, desakan supaya kerajaan menetapkan harga siling telah dikemukakan beliau kepada kerajaan sejak 2015 lagi.

Artikel Berkaitan:

"Ia bersekali dengan cadangan agar ia dilaksanakan bersekali dengan pemberian subsidi," katanya.

Beliau turut menuntut kerajaan memberikan penjelasan mengapa sehingga hari ini harga runcit RON95 belum turun kepada harga RM1.91 seperti yang dijanjikan.

"Mengapa masih belum ada keputusan muktamad mengenai mekanisme penetapan harga petrol selepas mesyuarat yang diadakan semalam?

"Berapa lama lagi masa yang Kerajaan perlukan untuk turunkan harga bahan api ini dan muktamadkan isu ini atau sebenarnya kerajaan memang terdesak meneruskan helah ini untuk terus mengaut keuntungan daripada rakyat," katanya.