Komik kontroversi: Tidak suka jangan baca, kata Zunar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kartunis politik Zunar kesal dengan tindakan menteri, institusi kerajaan dan mana-mana parti politik yang membantah penerbitan tiga versi komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tanpa menyatakan secara spesifik halaman yang tidak persetujui.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque berkata, kartun bergantung kepada tafsiran dan pihak yang bersetuju dengan kandungan komik berkenaan tidak boleh menggunakan tafsiran mereka sebagai undang-undang untuk mengharamkannya.

“Sehingga hari ini, saya tidak membaca keseluruhan kandungan komik itu. Secara peribadi, saya mungkin atau mungkin tidak bersetuju dengan kandungan itu tetapi saya menentang pengharaman komik itu.

“Prinsipnya mudah, kartun dan komik adalah perkara tafsiran, jika anda tidak bersetuju dengan kandungannya, tidak ada masalah. Tetapi jangan gunakan tafsiran anda sebagai undang-undang untuk mengharamkannya. Tidak suka? Jangan baca,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan KDN yang mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan tiga versi komik itu dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

ARTIKEL BERKAITAN: Komik propaganda dilarang di Malaysia: KDN

KDN dalam kenyataan semalam berkata, warta perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Penerbitan tersebut dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan menggemparkan fikiran orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib persoal komik didakwa berbentuk propaganda diedar di sekolah

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan persoalan sama ada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberi kebenaran sebuah komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di negara ini.

Najib menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya turut memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik tersebut yang didakwa menyebarkan propaganda itu.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM nafi beri kebenaran edar komik propaganda

Rentetan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan Najib bahawa kementerian itu membenarkan komik berkenaan diedar ke sekolah seluruh negara.

KPM menegaskan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.

Pejabat Perdana Menteri pula menegaskan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohmad tidak pernah terlibat dalam penerbitan komik itu atau mengetahui isi kandungan komik yang tular di media sosial.

Pejabat Perdana Menteri turut menafikan dakwaan mengatakan komik itu adalah hadiah rasmi daripada Dr Mahathir kepada Presiden China, Xi Jinping.

Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama kolektif antara kurator, Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.