Pena sokong KDN haramkan komik propaganda

Komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' yang berunsur propaganda telah dilarang di negara ini.
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menyokong penuh tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', serta versi bahasa Inggeris 'Belt & Road Initiative For Win-Winism' dan versi bahasa Cina.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, larangan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) itu merupakan tindakan yang perlu diambil bagi menjamin kestabilan negara.

"Bahan bacaan yang diedarkan kepada pelajar mestilah bersih dan provokatif. Jika sebelum ini novel Interlok menjadi isu besar di Kementerian Pendidikan khususnya, dan negara amnya, komik berunsur subversif ini lebih berbahaya dan perlu dihalang pengedarannya di sekolah.

“Sekiranya tindakan yang sewajarnya tidak diambil, nescaya perbuatan provokatif seumpama itu akan berterusan dan akibatnya akan timbul perlawanan daripada pihak awam, sekali gus akan mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam ada itu, pihaknya turut menyambut baik tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melarang pengedaran komik tersebut ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

“Malahan, Dr Maszlee perlu meminta penjelasan daripada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang sebelum ini pernah menerima naskhah buku tersebut daripada penulisnya tetapi tidak mengambil sebarang tindakan kawalan sebelum perkara menjadi lebih buruk.

“Bagi Pena, pengedaran bahan bacaan 'beracun' itu kepada sesiapa sahaja di negara ini tidak boleh diizinkan sama sekali kerana berpotensi mencetuskan ketegangan kaum,” katanya.

Mohamad Saleeh berkata, tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadap semua pihak termasuk ahli politik sekiranya didapati ada kaitan dengan penerbitan dan pengedaran komik terbabit.

“Ahli politik yang telah menjadi kerajaan tidak wajar sama sekali menghalang tindakan Kementerian Pendidikan dan KDN menghapuskan gejala subversif itu.

“Mereka juga tidak wajar mempromosikan ideologi komunisme dan sebarang unsur pemikiran yang bertentangan dengan aspirasi nasional.

"Itu jelas merupakan pengkhianatan terhadap negara, Yang di-Pertuan Agong dan keluhuran undang-undang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Komik propaganda dilarang di Malaysia: KDN