Kelantan tetap laksana larangan

Mohd Amar menjelaskan isu had operasi kedai makan, warung dan restoran sehingga jam 12 tengah malam kepada media semalam.
Mohd Amar menjelaskan isu had operasi kedai makan, warung dan restoran sehingga jam 12 tengah malam kepada media semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tetap akan melaksanakan peraturan mengehadkan waktu operasi kedai makan, warung dan restoran sehingga jam 12 tengah malam sahaja pada tahun depan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun buat masa ini perkara tersebut masih di peringkat dasar dan perlu diperhalusi memandangkan terdapatnya premis beroperasi 24 jam di negeri itu.

Menurutnya, perkara terbabit sebenarnya sudah terkandung dalam lesen perniagaan yang mana waktu operasi tidak boleh melebihi jam 12 tengah malam, cuma ia tidak pernah dikuatkuasakan.

“Tahun depan kita akan laksanakan sebab itu kita beri masa yang panjang supaya orang boleh faham apakah rasionalnya kerajaan membuat peraturan itu.

“Tarikh sebenar akan diperhalusi pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Pengumuman mengenai had waktu operasi oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada Isnin lalu telah menimbulkan pelbagai pandangan termasuk peniaga sendiri yang tidak bersetuju dengan larangan itu.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, Mohd Amar berkata, perkara itu sebenarnya telah dibincangkan ketika zaman pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi.Katanya, pada 2015 Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam pernah mengeluarkan pekeliling supaya peniaga tidak melanggar tempoh had waktu beroperasi sebagaimana tercatat dalam lesen perniagaan namun masih belum membuat penguatkuasaan.

Menjelaskan isu yang mendapat perhatian pelbagai pihak itu, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri pernah dua kali mendapat taklimat daripada polis dan mencadangkan supaya waktu berniaga dihadkan sehingga jam 12 tengah malam sahaja.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

“Mengikut pandangan polis ketika itu, ia antara faktor yang menyumbang berlakunya masalah sosial terutamanya kerana premis perniagaan terutama kedai makan beroperasi selepas jam 12 tengah malam.

“Pada pandangan ketika itu adalah kerana anak muda ada tempat untuk berkumpul jadi di situ ada golongan mengambil kesempatan melakukan perkara yang negatif,” katanya.

Namun katanya, ketika itu kerajaan tidak melaksanakannya lagi dan telah berbincang beberapa faktor berkaitan semasa itu.

Mohd Amar berkata, sebelum ia dikuatkuasakan pada tahun 2020, kerajaan Kelantan meminta supaya Urusetia Penerangan Negeri dan juga pihak berkuasa tempatan memberikan penjelasan secara menyeluruh berhubung peraturan terbabit agar ia difahami.

Dalam pada itu, secara peribadi Mohd Amar juga menyifatkan makan selepas jam 12 tengah malam juga tidak baik untuk kesihatan selain untuk bersahur.