Politik ‘makhluk perosak’ perlu ditolak: Abdul Hadi

Abdul Hadi mengucapkan tahniah kepada KDN atas tindakan mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan tiga versi komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama'. (Gambar kecil: Abdul Hadi)
Abdul Hadi mengucapkan tahniah kepada KDN atas tindakan mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan tiga versi komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama'. (Gambar kecil: Abdul Hadi)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan budaya politik ‘makhluk perosak’ perlu ditolak bagi menjamin perpaduan negara.

Menurutnya, jika tidak dihalang, cara politik sedemikian akan menghakis nilai hormat dan perpaduan dalam negara.

“Kita perlu menolak budaya politik 'makhluk perosak' yang boleh menggugat keharmonian negara dan kerajaan perlu bertegas untuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang melampaui batas ini.

“Sekolah juga perlu diselamatkan daripada menjadi mangsa penyebaran dakyah yang boleh merosakkan pemikiran generasi muda serta menghakis nilai hormat dan perpaduan dalam negara,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan tiga versi komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' berbahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

KDN dalam kenyataan semalam berkata, warta perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Penerbitan tersebut dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan menggemparkan fikiran orang ramai.

Kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan persoalan sama ada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberi kebenaran sebuah komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di negara ini.

Najib menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya turut memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tersebut yang didakwa menyebarkan propaganda itu.

Rentetan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan Najib bahawa kementerian itu membenarkan komik berkenaan diedar ke sekolah seluruh negara.

KPM menegaskan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.

Pejabat Perdana Menteri pula menegaskan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah terlibat dalam penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan–Meraih Manfaat Bersama' atau mengetahui isi kandungan komik yang tular di media sosial.

Pejabat Perdana Menteri turut menafikan dakwaan mengatakan komik itu adalah hadiah rasmi daripada Dr Mahathir kepada Presiden China, Xi Jinping.

Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.