Program kejuruteraan UM di tangga ke-15 terbaik dunia

UM berada pada kedudukan ke-15 terbaik dunia berdasarkan portal berita, US News & World Report.
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) disenaraikan pada kedudukan ke-15 terbaik dunia bagi program kejuruteraannya berdasarkan portal berita, US News & World Report.

Berdasarkan portal berkenaan, UM merekodkan skor 84.1 berdasarkan penilaian menggunakan konsep kejuruteraan asas dengan menggunakan sains dan matematik dalam menyelesaikan masalah.

Portal itu juga menjelaskan, semua universiti yang tersenarai mempunyai kekuatan dalam penghasilan kajian dalam pelbagai topik kejuruteraan termasuk kejuruteraan angkasa, mekanikal, elektrik dan awam.

Selain UM, turut tersenarai di tempat ke-40 adalah Universiti Teknologi Malaysia manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (147), Universiti Sains Malaysia (193), Universiti Putra Malaysia (220), Universiti Tenaga Nasional (253), Universiti Malaysia Pahang (271), Universiti Teknologi Petronas (285), Universiti Teknologi Mara (464) dan Universiti Malaysia Perlis (654).

Pada masa sama, UM turut disenaraikan di tempat ke-27 sebagai universiti terbaik pada peringkat Asia dan universiti tempatan terbaik di negara ini.

Sementara itu, memetik laporan Astro Awani, Dekan Fakulti Kejuruteraan UM, Prof Dr Saad Mekhilef berkata, pencapaian UM itu membuktikan program kejuruteraan universiti tersebut terutamanya dari segi kualiti kajian dan hasil kerja penyelidik adalah berkualiti tinggi.

“Selain itu, faktor kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan kerja keras kakitangan serta pelajar fakulti sendiri, selain sokongan daripada pengurusan UM.

"Antara rahsia kejayaan kami adalah melaksanakan kajian berkualiti tinggi dan menerbitkannya dalam jurnal terbaik yang kemudiannya menarik perhatian pihak terbabit,” katanya.

Saad berkata, pihak fakulti akan terus memperbaiki pencapaian memandangkan kedudukan terbaik di tangga ke-15 ini adalah satu persaingan sengit yang bersifat dinamik.

“Kami bersedia mengekalkan kedudukan ini dengan mencipta budaya kerja terbaik dan menghasilkan kajian berkualiti yang memberi impak tinggi,” katanya.