Pati tak jadi balik kampung

Empat warga asing yang ditahan PPM.
A
A

PELABUHAN KLANG - Cubaan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia menggunakan laluan tikus untuk keluar dari perairan negara ini, dipatahkan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM), di sini, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, empat lelaki berusia lingkungan 23 hingga 42 tahun telah diberkas di Sungai Agas, kira-kira jam 12.35 tengah hari menerusi Ops Pensura.

"Semasa rondaan dibuat, anggota PPM melihat sebuah bot yang mencurigakan.

"Pemeriksaan dibuat mendapati empat lelaki warga Indonesia dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain tinggal lebih masa," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, soal siasat mendapati Pati terbabit hendak pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Tambahnya, siasatan juga mendapati ada antara Pati ini telah berada di dalam negara selama lapan tahun.

Katanya, Pati terbabit dipercayai transit di Pulau Ketam sementara menunggu bot pom-pom datang mengambil mereka dengan bayaran RM500.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya.