'Saya ikhlas jaga 22 warga emas kerana ALLAH SWT'

Mohamad Fauzi yang sedang merawat seorang warga emas di rumah kebajikan tersebut.
Mohamad Fauzi yang sedang merawat seorang warga emas di rumah kebajikan tersebut.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki mampu menjaga seramai 22 orang warga emas lelaki di Badan Pengurusan Rumah Kebajikan Seri Permai Taman Tas sejak 2012 lalu.

Mohamad Fauzi Ramli, 30, berkata, tugas yang digalasnya tidak mematahkan semangatnya kerana dia ikhlas menjaga dan merawat warga emas berkenaan kerana ALLAH SWT.

Menurutnya, walaupun badan kebajikan terbabit pernah mengambil pekerja untuk membantunya namun tidak mampu bertahan.

"Di sini hanya ada saya dan Pengerusi, Zahari Mamat namun beliau perlu memfokuskan kerja-kerja di luar bagi mencari dana demi memastikan segala keperluan warga emas di sini mencukupi dan setakat ini kita mempunyai 22 warga emas lelaki termasuk tujuh orang yang sedang terlantar sakit.

"Pada mulanya amat susah untuk menjaga mereka kerana biasalah orang tua ini bermacam-macam ragamnya namun bak kata pepatah alah bisa tegal biasa, lama kelamaan bila saya dah dapat rentak, mudah sebenarnya untuk menjaga mereka.

"Malah saya berasa seronok untuk menjaga mereka dan pernah juga rumah kebajikan di sini untuk mengambil pekerja namun semuanya tidak lama maklumlah bila menjaga warga emas..ini ada yang terberak, terkencing. Jadi, semuanya berhenti," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohamad Fauzi berkata, walaupun rumah kebajikan di sini hanya mengambil warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan hanya memfokuskan warga emas pelupa dan strok, pihaknya juga tidak menolak sesiapa yang mereka terima yang memerlukan bantuan.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Fauzi yang sedang merawat seorang warga emas di rumah kebajikan tersebut.
Mohamad Fauzi yang sedang merawat seorang warga emas di rumah kebajikan tersebut.

Menurutnya, pihaknya juga hanya turut memberi keutamaan kepada gelandangan dan warga emas yang tidak dituntut oleh keluarga mereka di hospital yang bukan sahaja di sekitar kawasan Kuantan malah di seluruh negara.

"Gelandangan kita ambil bila mendapat aduan daripada orang ramai dan kita juga melihat jika mereka ada penyakit yang berjangkit kita tidak ambil. Kita juga akan lakukan kaji selidik latar belakang mereka supaya kita dapat mengetahui siapa keluarga mereka.

"Manakala di hospital pula kita pernah warga emas luar daripada Kuantan seperti Hospital Sungai Buloh, Hospital Tanjung Karang, Hospital Cheras yang mereka akan merujuk kepada kita jika tiada keluarga yang menuntut mereka," katanya.

Berkongsi pengalaman, Mohamad Fauzi menceritakan terdapat pelbagai ragam dan karenah yang diterima pihaknya daripada keluarga apabila warga emas yang dirawat oleh kami meninggal dunia.

"Macam-macam perangai yang kami terima. Waktu ayah mereka masih hidup mereka langsung tidak pedulikan bila ayahnya meninggal dunia ada sahaja yang hendak dituntut oleh pihak keluarga.

"Ada yang kami terima dia merelakan ayahnya untuk dijaga oleh pihak kami setelah kami mengambilnya di hospital tapi bila ayahnya meninggal dunia dan mendapat tahu ayahnya mempunyai harta, baharu sahaja dikebumikan terus bertanya kepada saya mana duit ayahnya yang disimpan," katanya.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian atas nama Badan Pengurusan Rumah Kebajikan Seri Permai Pahang melalui akaun Maybank 5562 2640 2887